TEG horizontal logo 2

‘Kanak-kanak, belia terdedah risiko nikotin demi matlamat kerajaan tambah pendapatan’ – MCTC

KUALA LUMPUR: Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) menggesa kerajaan secara aktif mengehadkan pendedahan kanak-kanak dan belia kepada nikotin dalam vape dan peranti rokok elektronik, susulan keputusan mengeluarkan cecair dan gel nikotin daripada senarai Akta Racun 1952.

Dalam kenyataannya, MCTC menjelaskan, kementerian dan agensi berkaitan perlu melaksana kempen pendidikan yang mencegah kanak-kanak dan belia daripada menggunakan vape dan peranti e-rokok mengandungi nikotin.

Selain itu katanya, kerajaan perlu segera membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok mengikut maksud dan draf RUU asalnya ke Parlimen secepat mungkin.

“Perdana Menteri sudah memberi komitmen ia akan dilakukan pada persidangan Parlimen pada Mei dan kami memohon supaya garis masa ini dipatuhi tanpa sebarang alasan.

“Di dalam RUU ini, terdapat langkah-langkah komprehensif untuk vape dan rokok elektronik, termasuk peraturan penting melarang penggunaannya kepada mereka yang berumur di bawah 18 tahun,” katanya hari ini.

Bagi langkah jangka panjang, katanya Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi lain perlu mengumumkan strategi komprehensif untuk membendung dan mengawal ketagihan nikotin yang dijangka akan meningkat pada tempoh ini, susulan pengumuman itu.

“Kempen pendidikan perlu diperkukuh dan sumber penting perlu ditumpukan bagi melaksana langkah ini. Penting juga, meluaskan perkhidmatan untuk berhenti dan penyediaan perkhidmatan kepada orang awam yang ketagih nikotin, tidak kira sama ada mereka menggunakan rokok konvensional atau e-rokok.

“Pelan hala tuju dan kawalan peringkat nasional perlu diumumkan segera, dengan peruntukan serta mekanisme pelaksanaan yang mencukupi bagi memastikan ia dapat dijayakan,” katanya.

Dalam kenyataan sama, MCTC juga terkilan dengan keputusan KKM dan kerajaan untuk meneruskan langkah sedemikian, sungguhpun menerima pelbagai gesaan serta rayuan dari ribuan profesional kesihatan.

“Menteri sendiri sudah menyatakan dalam mesyuarat, beliau memutuskan langkah itu dengan ‘berat hati’, namun terpaksa dilakukannya atas ‘pertimbangan ekonomi’,” katanya.

Katanya, MCTC waspada dengan langkah permulaan yang bahaya ini, terutama berkaitan risikonya kepada kanak-kanak dan golongan muda, hanya kerana untuk memenuhi matlamat untuk meningkatkan pendapatan kerajaan.

Sebelum ini, media melaporkan, kerajaan akan melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik (e-rokok) pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml).

Pelaksanaan cukai itu diumumkan menerusi notis warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan pada 31 Mac lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

Warta yang dikeluarkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa menyatakan nikotin termasuk tembakau, tampalan dan gula-gula getah, cecair dan gel nikotin kini dikecualikan daripada Akta Racun 1952.

Sumber: Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss