TEG horizontal logo 2

Kanak-kanak perlu makan buah segar dan bukan vape berperisa buah

Georgetown: “Kita perlukan makanan, bukannya ketagihan nikotin,” ujar Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia (WNTD) bagi tahun 2023.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata, tema itu amat berkaitan dengan Malaysia walaupun petani tembakau kini mula beralih kepada penanaman kenaf sejak sedekad lalu.

Katanya, industri tembakau kini memberi tumpuan yang mendorong penggunaan nikotin sebagai `sumber’ ketagihan sebagai pengganti.

“Sama ada seseorang itu menghisap rokok konvensional, Sistem Penyampaian Nikotin Elektronik (ENDS) atau Produk Tembakau Dipanaskan (HTP), semuanya tetap memberi ketagihan dan berbahaya.

“Pengguna perlu berhati-hati terhadap ketagihan sepanjang hayat dan seterusnya berisiko menghadapi penyakit tidak berjangkit kronik yang dikaitkan dengan tabiat itu.

“Perokok menyedut lebih daripada 7,000 bahan kimia yang kebanyakannya amat toksik atau karsinogenik,” katanya tadi.

Di Malaysia, sebanyak 14 peratus remaja berusia 13 hingga 17 tahun didapati menghisap vape berbanding 6.2 peratus rokok konvensional.

“Terdapat 17,000 perisa e-rokok, boleh diperoleh menerusi dalam talian yang menyasarkan kanak-kanak,” katanya.

Menurut Mohideen, kanak-kanak perlu memakan lebih banyak buah-buahan segar dan bukannya menghisap vape berperisa buah.

Katanya, perokok mestilah merebut peluang bagi menghentikan tabiat merokok atau vape memandangkan keadaan situasi ekonomi kini.

“Setiap ringgit perlu dikira dalam memastikan makanan berada di atas meja.

“Dengan ketidaktentuan dalam ekonomi global, pengguna mestilah mengamalkan sikap berhemat dalam belanjawan keluarga dengan mengutamakan makanan bukannya produk tembakau yang berbahaya.

“Sekotak rokok berisi 20 batang rokok berharga kira-kira RM17. Menghisap dua kotak rokok boleh membeli 10 kilogram (kg) beras atau sebotol minyak masak lima kg dan dua kg paha ayam.

“Pembelian makanan akan memberi manfaat kepada seluruh ahli keluarga dengan menambah baik khasiat pemakanan dan kesihatan mereka,” katanya lagi.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, jika perokok menghentikan tabiat itu, ia akan memberi manfaat kepada sebahagian besar yang berada dalam Kumpulan Bawah 40 (B40) kerana kira-kira 40 peratus daripada mereka adalah perokok berbanding 31 peratus daripada Kumpulan Pertengahan 40 (M40) dan lima peratus daripada Kumpulan Tertinggi 20 (T20).

Katanya, anak daripada keluarga B40 lebih cenderung mengalami kekurangan zat makanan dan pertumbuhan terbantut kerana keluarga mereka kurang bernasib baik daripada segi kewangan dan merokok memburukkan lagi keadaan.

” CAP juga terus menggesa kerajaan supaya mempercepatkan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Generasi Penamat (GEG) dengan secepat mungkin,” katanya lagi.

Sumber: Harian Metro

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss