TEG horizontal logo 2

Kanak-kanak seberat 11kg boleh maut dengan hanya satu sudu teh nikotin cecair

Hanya satu sudu teh nikotin cecair diperlukan untuk membawa maut kepada kanak-kanak seberat 11 kg, demikian menurut American Academy of Pediatrics.

KUALA LUMPUR — Hanya satu sudu teh nikotin cecair diperlukan untuk membawa maut kepada kanak-kanak seberat 11 kg, demikian menurut American Academy of Pediatrics.

Manakala National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH), Centre of Disease Control and Prevention (CDC) pula menyatakan 50 hingga 60 mg/kg nikotin disedut boleh membawa maut kepada individu dewasa dengan berat 70 Kg.

Malah nikotin cecair yang tertumpah pada kulit juga boleh menjadi beracun dalam masa beberapa minit.

Demikian fakta dinyatakan Sekretariat Gerakan Penuntut Sarjana Kesihatan Awam Malaysia Universiti Malaya (UM) yang menyuarakan kebimbangan ekoran berlaku peningkatan kes keracunan nikotin, khususnya melibatkan rokok elektronik (e-cigarete) dan nikotin cecair tulen.

Wakil gerakan itu, Oui Hui Che berkata kepekatan nikotin dalam produk cecair adalah lebih tinggi daripada kebanyakan produk tembakau lain.

“Nikotin adalah bahan kimia yang sangat ketagih, ia bahan toksik semula jadi yang terdapat dalam produk tembakau dan menjadikan produk tembakau ketagihan.

“Nikotin adalah bahan kimia yang senang diserap ke dalam badan.

“Ia boleh diserap ke dalam badan melalui penyerapan melalui kulit, penyedutan ke dalam paru-paru dan penyerapan melalui selaput lendir mulut anda serta melalui usus,” katanya dalam sidang media berkaitan isu pengecualian cecair dan gel nikotin daripada Akta Racun 1952 di Fakulti Perubatan UM di sini hari ini.

Beliau menjelaskan keracunan nikotin boleh berlaku dalam dua peringkat iaitu fasa awal dan fasa lewat.

Katanya, gejala fasa awal selepas pengambilan nikotin adalah pening dan muntah; peningkatan air liur; sakit perut; pucat; berpeluh; peningkatan tekanan darah; kadar denyutan jantung meningkat; pernafasan cepat dan berat (hyperpnea); kehilangan kawalan pergerakan badan (ataxia), kehilangan keseimbangan, kesukaran berjalan; gegaran; sakit kepala, pening; kedutan otot serta sawan.

Gejala fasa lewat pula meliputi cirit birit; tekanan darah rendah (hipotensi) dan kadar denyutan jantung perlahan (bradikardia); irama jantung yang tidak normal; terkejut; koma; kelemahan otot/lumpuh dan pernafasan cetek, kesukaran bernafas serta kegagalan pernafasan, katanya.

Atas sebab itu, pihaknya tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan mengecualikan bahan cecair dan gel nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952 tanpa kawalan khusus untuk menghalang aktiviti promosi, pengiklanan, penjualan dan penggunaan bahan beracun secara berleluasa di pasaran.

Beliau berkata keputusan itu juga disifatkan langkah ke belakang berbanding negara-negara jiran seperti Singapura, Thailand, Brunei dan 34 negara lain yang mengharamkan sepenuhnya vape bagi melindungi rakyatnya terutama generasi muda daripada ketagihan nikotin.

“Kami sebagai pengawai perubatan dan anggota kesihatan bersekutu berpegang kepada etika ‘First do no harm’.

“Kami menyokong nasihat pakar Lembaga Racun yang sebulat suara tidak bersetuju tindakan ini yang mengancam nyawa dan keselamatan seluruh rakyat Malaysia khususnya golongan kanak-kanak dan remaja yang menjadi generasi pelapis negara,” katanya.

Gerakan kesihatan awan itu juga mendesak supaya Rang Undang-Undang (RUU) untuk kawalan produk merokok dan vape serta peruntukan Generational End Game (GEG) dibentang dan diluluskan dengan segera.

Sebelum ini, dilaporkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengeluarkan warta menyatakan, tampalan, cecair dan gel nikotin untuk membantu menghentikan tabiat merokok kini dikecualikan daripada Akta Racun 1952 sekali gus mengetepikan keputusan Lembaga Racun sebelum ini.
Beliau juga dilaporkan akan membentangkan RUU baharu yang bakal mengawal selia semua produk merokok, termasuk bahan merokok mengandungi nikotin yang digunakan untuk tujuan merokok.

Menteri Kesihatan itu menyasarkan RUU baharu akan dibentangkan dengan segera pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua Parlimen Ke-15 yang dijangka bersidang pada Mei depan. — The Merdeka Times

Sumber: The Merdeka Times

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss