TEG horizontal logo 2

Kawal jualan vape dan rokok, perketat undang-undang halang rakyat ketagih

KUALA LUMPUR: Semua ahli parlimen digesa mengadakan resolusi terhadap kawalan jualan vape dan rokok untuk pengguna sedia ada serta undang-undang yang menghalang rakyat Malaysia daripada terus terjebak dalam penagihan rokok, nikotin dan vape.

Naib Presiden Medical Mythbusters Malaysia (M3) Dr Amirul Amzar, berkata semua ahli parlimen perlu mengadakan resolusi untuk mengawal masalah berkenaan dan mewujudkan undang-undang berkaitan dua perkara utama berkenaan.

“Kempen kesedaran dan pendidikan tidak cukup. Prevalen perokok masih satu dalam lima orang. Malah vape tumbuh dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah tanpa kawalan.

“Itu tanggungjawab semua ahli parlimen tanpa mengira blok politik. Ia bukan hanya isu kesihatan, tetapi isu masa depan yang membabitkan anak bangsa kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Amirul yang juga Pakar Perubatan Keluarga, berkata pengecualian nikotin daripada Akta Racun 1952 ketika ini dibimbangi akan menjadikan rakyat Malaysia tidak lagi progresif.

“Vape dan nikotin bukan jalan untuk berhenti merokok. Perokok yang menggunakan vape untuk berhenti merokok bukan sahaja tidak berhenti daripada ketagihan mereka, malah berisiko menjadi dwi pengguna telah terbukti meningkatkan risiko sakit jantung yang lebih tinggi.

“Pengguna vape juga berpotensi menelan nikotin yang lebih tinggi berbanding rokok dan akhirnya, gagal untuk keluar dari ketagihan,” katanya.

Katanya, tidak dinafikan lebih 300,000 pelajar sekolah di Malaysia terjebak dengan vape, sedangkan mereka sepatutnya menjadi modal insan pada masa akan datang.

“Tetapi kalau mereka sudah menjadi penagih nikotin sejak kecil lagi, otak mereka akan terbantut. Kita akan mundur.

“Sudah ada bukti bahawa vape digunakan sebagai bahan untuk campuran dadah. Saya sendiri pernah berbual dengan pelajar masukkan tar dalam vape mereka untuk rasa khayal,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam proses untuk mengeluarkan produk cecair atau gel nikotin dalam Akta Racun 1952 sebelum melaksanakan cukai terhadap penggunaan rokok elektronik (e-rokok) dan vape.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, bagaimanapun memberi jaminan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 akan tetap diteruskan.

Sumber: Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss