TEG horizontal logo 2

KENYATAAN MEDIA: “KITA PERLUKAN MAKANAN, BUKANNYA ROKOK”. SEGERAKAN RUU GEG.

RABU 31 MEI 2023 / 11 ZULKAEDAH 1444H

Sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia yang disambut pada hari ini 31 Mei 2023, Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) menggesa agar semua pihak terus memainkan peranan yang lebih proaktif dalam memberikan kesedaran terhadap penggunaan produk-produk merokok yang diketahui umum telah mengakibatkan banyak kemudaratan kepada kehidupan manusia.

Tema sambutan pada tahun ini adalah :”Kita memerlukan Makanan, bukannya Tembakau”.

Tema yang sangat tepat dalam menggambarkan situasi dunia pada hari ini yang komited untuk menamatkan produk yang telah hampir seabad umurnya membunuh lebih 8 juta manusia pada setiap tahun. Kita perlukan bekalan makanan yang cukup dan sihat, bukannya produk tembakau dan merokok serta nikotin yang memudaratkan.

Berkesempatan ini, IKRAM Health:

1) Mengalu-alukan hasrat kerajaan untuk membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok serta pelaksanaan Generasi Penamat Rokok (GEG) dalam Sidang Parlimen kali ini selaras dengan sokongan yang telah diberikan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam sidang Dewan Rakyat yang lepas.

2) Menyelar tindakan mana-mana pihak yang ingin menangguhkan lagi pembentangan dan kelulusan RUU ini sehingga ke sidang Parlimen yang berikutnya. Penangguhan ini akan menyebabkan ‘lacuna’ (kelompongan undang-undang) yang sedia ada ini akan terus berlaku sepanjang tempoh itu lantaran tiada kawalan terhadap produk rokok elektronik atau vape selepas nikotin untuk produk tersebut telah dikecualikan daripada Akta Racun baru-baru ini.

3) Mengingatkan ahli-ahli Parlimen agar tidak mudah ditipu dan diperdayakan lagi oleh industri tembakau serta vape dalam usaha kerajaan untuk membentangkan RUU ini. Selama ini mereka telah berdekad lamanya memunggah kekayaan atas kemudaratan kesihatan awam sehingga telah membunuh lebih 29,000 orang setiap tahun angkara tabiat merokok tersebut. Kesihatan rakyat mestilah diutamakan, bukannya keuntungan konglomerat yang rakus, apatah lagi undi kecil mereka.

Justeru, sambutan hari ini akan menjadi lebih bersejarah andainya undang-undang ini berjaya diwartakan oleh kerajaan yang memerintah pada hari ini.

Demi Malaysia Madani dan generasi yang akan datang, RUU dan GEG ini sangat penting untuk negara bagi melestarikan kesejahteraan dan kesihatan rakyat secara umumnya.

Sekian.

“Kita perlukan makanan, bukannya Tembakau”

“We need food, not Tobacco”

DR. MOHD AFIQ MOHD NOR

Yang Dipertua

IKRAM Health Malaysia

Sumber: IKRAM Health Malaysia

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss