TEG horizontal logo 2

Kerajaan perlu efektif tangani isu produk tembakau, vape

Bangi: Akademi Profesor Malaysia (APM) menyarankan kerajaan mengenakan kadar cukai minimum yang efektif sehingga 65 peratus untuk semua produk tembakau terutama rokok.

Berdasarkan semakan di laman web Perikatan Kawalan Tembakau Asia Tenggara (SEATCA) mendapati kadar cukai produk tembakau negara ini adalah 58.6 peratus.

Pengerusi Kluster Perubatan dan Kesihatan APM Prof Dr Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin berkata, kadar cukai berkenaan juga berdasarkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurutnya, penetapan kadar cukai efektif itu antara 10 cadangan daripada APM bagi memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat terus terjamin susulan keputusan kerajaan mengeluarkan cecair dan gel nikotin daripada Akta Racun 1952.

Katanya, pihaknya juga kesal dengan keputusan berkenaan dan semakan perlu dibuat terhadap keputusan mengeluarkan nikotin daripada Akta Racun 1952 sehingga Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 diluluskan.

“Selain itu, kami mencadangkan untuk mengenakan cukai, penetapan harga dan kawalan pemasaran terhadap semua cecair rokok elektronik sebagaimana produk tembakau dan rokok.

“Selain menetapkan kadar kepekatan nikotin maksimum yang dibenarkan untuk berada di pasaran berdasarkan amaun nikotin (bagi setiap miligram atau milimeter).

“Pihak terbabit perlu memastikan komitmen negara untuk mencapai sasaran ‘Tobacco Endgame’ seperti disarankan oleh WHO iaitu prevalens perokok kurang daripada lima peratus menjelang 2040,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Persidangan Meja Bulat RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dan Pelaksanaan Dasar Generasi Penamat (GEG): Cabaran dan Implikasi Terhadap Pembangunan Malaysia Madani, di sini, hari ini.

Katanya, selain itu pihak berkenaan perlu terus memerangi rasuah dan ketirisan sempadan bagi menangani isu penyeludupan produk tembakau termasuk rokok elektronik.

Dalam masa sama, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu mengenakan lesen khas terhadap premis dan penjual produk rokok elektronik serta mengenakan sekatan lokasi penjualan dalam lingkungan lima kilometer (km) dari semua institusi pendidikan dan kawasan perumahan.

“Kerajaan juga dicadangkan menyediakan satu geran khas bagi menjalankan penyelidikan berkaitan rokok elektronik termasuk kesan terhadap kesihatan, ekonomi dan sosial khususnya terhadap wanita dan kanak-kanak, terbuka kepada semua institusi awam dan swasta.

“Selain itu, kerajaan dicadangkan memastikan keberkesanan dan keselamatan penggunaan rokok elektronik sebelum mendaftarkannya untuk tujuan pengurangan kemudaratan rokok konvensional melalui Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA).

“Ia juga bagi memastikan kepentingan dan amalan mesra kanak-kanak, wanita dan keluarga sentiasa dipelihara dan dilindungi dari penggunaan rokok dan rokok elektronik.

“Kami juga mencadangkan supaya mewartakan fatwa haram ke atas produk tembakau termasuk rokok dan rokok elektronik oleh Majlis Fatwa Kebangsaan serta penguatkuasaan di semua negeri,” katanya.

Katanya, pihaknya menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memastikan RUU berkenaan dan GEG yang akan dibentangkan dalam sidang Parlimen pada Mei ini akan diluluskan dan dikuatkuasakan tanpa pindaan.

Sementara itu, Ketua Pasukan Bertindak Berhenti Merokok APM Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed berkata, menaikkan harga melalui pencukaian antara kaedah efektif untuk mengurangkan jumlah perokok dan langkah berkesan dilakukan beberapa negara luar.

“Kita juga mahu pastikan PBT mengeluarkan lesen kepada premis yang tidak berhampiran sekolah dan kawasan perumahan. Kita tidak mahu ada peluang atau mendedahkan (remaja dan kanak-kanak) terhadap produk tembakau,” katanya.

Katanya, sifat nikotin adalah racun kepada sel otak remaja dan kanak-kanak yang sedang berkembang maka rokok termasuk rokok elektrik perlu dikawal di kalangan kanak-kanak dan remaja kerana akan menyebabkan ketagihan.

Sumber: Harian Metro

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss