TEG horizontal logo 2

Kerajaan perlu pertimbang cadangan RUU GEG

DASAR GEG di bawah RUU itu akan mengenakan larangan membeli dan menggunakan rokok atau vape bagi individu yang lahir bermula tahun 2007 dan seterusnya.

KUALA LUMPUR: Penilaian yang lebih komprehensif perlu dibuat terhadap cadangan mengharamkan penjualan rokok kerana banyak pihak kini menjual rokok secara haram dengan lebih meluas.

Perkara itu terjadi kerana kelonggaran dari segi penguatkuasaan sekali gus harga rokok dinaikkan, namun ramai yang tetap membeli termasuk golongan muda.

Isu itu disuarakan dalam perbincangan meja bulat yang turut dihadiri salah seorang  jawatankuasa pilihan parlimen (PSC), R. Sivarasa.

Menurut Presiden Persatuan Kedai Kopi Petaling Jaya, Kue Kok Meng berkata, perkara ini perlu diberi perhatian kerana memperlihat Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau lebih dikenali sebagai RUU Generasi Penamat (GEG) bukan penyelesaian yang terbaik.

“Sebelum ini RM3.50 sebungkus untuk penjualan rokok terlarang tetapi sekarang RM5. Di kedai kopi, saya tidak nampak penguat kuasa undang-undang datang untuk melarang orang merokok. Kerajaan telah membuat semua iklan, tetapi orang masih merokok. Kedai tidak pernah mendorong orang ramai membeli rokok, tetapi orang masih mahu membelinya,” katanya.

RUU GEG sebelum ini dibaca buat kali pertama pada 12 Jun tahun ini dalam sidang Dewan Rakyat.

Ia adalah langkah kerajaan untuk mewujudkan Dasar GEG bagi golongan yang lahir pada 1 Januari 2007 dan selepasnya bakal terlaksana melalui RUU tersebut demi kesihatan awam.

Dasar GEG di bawah RUU itu akan mengenakan larangan membeli dan menggunakan rokok atau vape bagi individu yang lahir bermula tahun 2007 dan seterusnya.

Pembentangan RUU itu sekali gus menggantikan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang tidak sempat direalisasi menteri terdahulu, selepas Parlimen penggal ke-14 dibubar tahun lalu.

Dalam hal ini, jelasnya lagi, setiap proses dalam membuat keputusan mengenai perkara itu perlu diberi akses sepenuhnya kepada semua pihak termasuk pihak berkepentingan, ahli parlimen dan ke semua pengguna.

Mengulas lanjut, Kok Meng berkata, pihaknya memahami peranan kerajaan dalam melindungi kanak-kanak untuk memelihara kesihatan sebelum keputusan boleh dibuat sendiri apabila meningkat dewasa, namun keseimbangan perlu ada dari segi kesihatan dan impak negatif yang akan timbul daripada keputusan yang dibuat kerajaan.

“Kerajaan perlu telus apa sebenarnya yang menjadi fokus utama mereka. Perkara ini sangat penting dalam menilai sama ada dasar GEG berkesan atau sebaliknya. Jika tidak, setiap kerajaan mengubah dasar dan tiada penilaian sewajarnya akan dilakukan,” ujarnya.

Meja bulat itu dianjurkan kumpulan advokasi Pusat Pilihan Pengguna.

Dalam pada itu, Pengarah Penyelidikan Bait Al Amanah, Benedict Weerasena berkata, berdasarkan penyelidikan mereka, jumlah kos penguatkuasaan untuk GEG dianggarkan sebanyak RM 303 juta setahun termasuk kos trek tembakau, kempen kesedaran awam, kos pentadbiran, penguatkuasaan tambahan untuk menyekat pertumbuhan pasaran rokok haram.

“Kumpulan seperti B40 dan M40 paling banyak terjejas iaitu isi rumah berpendapatan rendah. Selain itu, kesan ke atas pelaburan akan berkurangan dari segi keluaran dalam negara kasar. Ia menghasilkan persepsi negatif bahawa negara kita lebih mengutamakan penyeludup berbanding sumber yang sah,” katanya.

Maka dalam hal ini, Bait al-Amanah telah mencadangkan agar kerajaan mempergiatkan sesi penglibatan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk membincangkan isu-isu yang mungkin timbul, di samping memberi tumpuan kepada kaunseling untuk membantu individu berhenti merokok.

Hari ini, Kementerian Kesihatan akan bertemu dengan Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) mengenai kesihatan untuk memuktamadkan butiran Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2023 dan dasar GEG.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, beliau akan melibatkan diri dengan PSC, pihak berkepentingan dan pakar panel untuk mendengar cadangan serta pandangan mereka mengenai rang undang-undang itu.

“Kementerian terbuka kepada semua pendapat mereka. Kami akan mendengar cadangan mereka dan mengadakan perbincangan petang ini,” katanya.

Zaliha berkata, rang undang-undang itu dijangka dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat bulan depan.

“Mudah-mudahan, kita akan dapat mencari titik persamaan dan rang undang-undang itu akan diterima oleh semua Ahli Parlimen bulan depan,” ujarnya lagi.

Sumber: UTUSAN

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss