TEG horizontal logo 2

Kerajaan serius kurangkan bilangan remaja hisap vape

Lukanisman Awang Sauni

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus berusaha mengurangkan bilangan remaja dan pelajar merokok termasuk vape

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, menerusi Program Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok (KOTAK), seramai 1,540,035 pelajar telah disaring pada tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 38,010 pelajar yang didapati merokok telah diberikan intervensi supaya menghentikan amalan yang tidak sihat itu.

Bagi pelajar sekolah rendah, seramai 2,413,761 orang telah disaring dan daripada jumlah itu, seramai 374 pelajar yang didapati merokok telah diberikan intervensi berhenti merokok.

“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan berjaya memberi latihan kepada 141 guru kaunseling dan guru Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) untuk mengendalikan pelajar-pelajar yang terlibat dengan tabiat merokok.

“Bagi tahun 2023 juga, KKM telah berjaya melaksanakan sekurang-kurangnya 86 aktiviti promosi dan advokasi pencegahan merokok bersama badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), IKRAM Health dan Yayasan Sukarelawan Siswa.

“Program kerjasama ini turut melibatkan sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan komuniti,” katanya di Dewan Rakyat.

Lukanisman berkata demikian menjawab pertanyaan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai sejauhm manakah kejayaan kementerian mengurangkan kebergantungan remaja atau pelajar kepada rokok termasuk vape.

Dalam sidang sama, Halimah turut bertanyakan sejauh manakah industri rokok dapat menghalang hasrat kerajaan meminimumkan ‘first smoke’ atau pendedahan rokok terawal dalam kalangan pelajar sekolah.

Menjawab pertanyaan itu, Lukanisman berkata, kewujudan pelbagai produk merokok terutama rokok elektronik yang dipromosikan secara berleluasa turut menjejaskan usaha kerajaan bagi mengekang pendedahan rokok terawal, terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah.

Bagaimanapun katanya, bagi mengekang perkara itu, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah antaranya memperketat larangan penjualan produk merokok kepada golongan Orang Bawah Umur (OBD) di bawah Seksyen 13, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang baru diwartakan pada 2 Februari 2024.

Selain itu, tindakan kerajaan lain adalah memperkukuh undang-undang terhadap larangan pengiklanan dan penjualan produk merokok termasuk produk merokok tiruan menyerupai mainan kanak-kanak melalui Akta 852.

“Memastikan pematuhan terhadap Artikel 5.3 WHO Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) yang menetapkan bahawa Malaysia sebagai negara anggota perlu melaksanakan kawalan tembakau serta melindungi dasar tersebut dari kepentingan komersial dan kepentingan industri tembakau berlandaskan undang-undang negara,” katanya.

Sumber – MalaysiaGazette

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss