TEG horizontal logo 2

KKM pantau penjualan tembakau serta nikotin kepada kanak-kanak

Dr Dzulkefly Ahmad semasa sidang media pada majlis sambutan hari thalassaemia sedunia peringkat kebangsaan 2024 di Lobi Utama, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), UPM. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

Serdang: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil perhatian mengenai Seksyen 13 di dalam Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang antara lain menghalang sebarang penjualan produk berkaitan dengan tembakau serta nikotin kepada kanak-kanak.

Sebelum ini, Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa penguatkuasaan Seksyen 13 dalam Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) dilaksanakan dengan lebih ketat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata, jika melihat kepada perkara yang menjadi pertikaian dahulu apabila cecair nakotin dikeluarkan daripada Akta Racun 1952 sebenarnya Akta Kawalan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 merangkumi semua produk merokok termasuk produk e-rokok.

“Jadi perkara yang dibangkitkan dahulu mewujudkan satu kelompangan cecair narkotin tidak dikawal selia, dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 kita sudah tangani ke atas semua jenis produk bukan sahaja rokok, tembakau malah secara khusus kepada vape dan e-rokok.

“Semua perkara yang disebut mengenai narkotin yang dahulu terkeluar daripada Akta Racun 1952, ia sudah berdiri sendiri di dalam akta yang ada pada hari ini. Kita sudah berada di saat-saat akhir, mungkin pada Oktober untuk melancarkan empat peraturan dan satu perintah berkaitan kawalan produk merokok untuk KKM melaksanakannya,” katanya pada majlis Sambutan Hari Talasemia Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di sini, hari ini.

Majlis sambutan itu yang diadakan di Unit Kesihatan Awam, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) adalah kerjasama Persekutuan Pertubuhan Thalassaemia Malaysia (PPTM) dan Persatuan Thalassaemia Selangor itu bertujuan untuk memberi informasi dan kesedaran kepada masyarakat.

Mengulas mengenai pesakit talasemia di Malaysia, Dzulkefly berkata, bersandarkan data daripada Malaysia Thalassaemia Register 2020, terdapat seramai 8,767 orang pesakit Thalassaemia di Malaysia.

“Statistik penurun kadar kelahiran baharu talasemia daripada tahun 2011 hingga 2017 adalah sebanyak 28 peratus khususnya di Sabah.

“Program Saringan Thalassaemia bagi pelajar tingkatan 4 yang dilancarkan pada tahun 2016 juga masih terus dilaksanakan sehingga kini,” katanya.

Jelasnya, talasemia adalah penyakit genetik yang diwarisi daripada kedua ibu bapa. Program Kawalan dan Pencegahan Thalassaemia Kebangsaan dimulakan pada 25 Ogos 2004 bagi mengawal beban kesihatan awam yang ditanggung negara oleh penyakit talasemia.

“Program ini merangkumi aktiviti promosi

dan pendidikan kesihatan berkaitan Thalassaemia, inisiatif saringan dalam komuniti, pengurusan klinikal yang komprehensif dan penubuhan Malaysia Thalassaemia Registry (MTR).

“KKM akan berusaha memastikan rawatan dan kemudahan ubat-ubatan mudah di akses dan mencukupi untuk pesakit Thalassaemia di Malaysia dan kadar bayaran untuk rawatan yang standard untuk pesakit talasemia,” katanya.

Jelasnya, KKM memahami, ramai pesakit Thalassemia masih bersekolah dan ada yang sudah mempunyai kerjaya yang cemerlang dalam hidup mereka.

“Sudah pasti, pesakit talasemia memerlukan masa yang lebih fleksibel supaya mereka dapat menyeimbangkan antara pendidikan, kerjaya dan kesihatan mereka,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss