TEG horizontal logo 2

KKM sedang muktamad perintah akta anti merokok, kata menteri

Dzulkefly Ahmad berkata KKM melaksanakan perbincangan dengan pelbagai pihak bagi melancarkan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

vaping vape
Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam antara lain memperuntukkan larangan penjualan dan pembelian produk tembakau serta penyediaan perkhidmatan merokok kepada kanak-kanak bawah umur.

PETALING JAYA: Draf akhir peraturan dan perintah bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) kini dalam semakan penasihat undang-undang Kementerian Kesihatan (KKM), kata Menteri Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly berkata, penelitian terakhir itu dibuat sebelum akta terbabit dimuktamad dan diangkat untuk kelulusan Jabatan Peguam Negara bagi pelaksanaan.

“Taklimat susulan kepada NGO antitembakau juga akan diadakan selepas kelulusan perintah dan peraturan bawah Akta 852 diperoleh daripada Jabatan Peguam Negara,” katanya kepada FMT mengulas perkembangan terkini pengenalan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam.

Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam antara lain memperuntukkan larangan penjualan dan pembelian produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau serta penyediaan sebarang perkhidmatan merokok kepada kanak-kanak bawah umur.

Rang undang-undang (RUU) antimerokok yang diluluskan di Dewan Negara pada Disember lalu sudah diwartakan pada Februari.

Bagi memastikan penguatkuasaan berjalan lancar, Dzulkefly berkata KKM mengadakan perbincangan bersama jabatan kesihatan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) antara 22 Feb hingga 23 Mei lalu.

“Fokus perbincangan antaranya penurunan kuasa kepada PBT (bagi melaksanakan peraturan dan perintah),” katanya.

Katanya, jelajah penerangan bersama kementerian serta agensi lain serta penguat kuasa KKM di seluruh negara juga sudah bermula di Kedah pada 9 Jun lalu hingga bulan depan.

Menurutnya, perancangan penguatkuasaan akta itu turut meliputi tambahan perjawatan pegawai penguat kuasa, mengurus lantikan pegawai berkuasa dan pengeluaran sijil perakuan kuasa.

Beliau berkata, bagi pelaksanaan penguatkuasaan pendidikan, KKM akan mengadakan operasi mega di kedai vape.

Sebelum ini, FMT melaporkan kebimbangan pakar kesihatan yang penguatkuasaan akta itu mungkin sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’ seperti berlaku pada peruntukan generasi penamat rokok (GEG) yang digugurkan kerajaan.

Bekas presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar, berkata pengumuman pelaksanaan akta itu sebelum ini dibuat terlalu umum tanpa pelan dan penilaian sewajarnya.

Source: FMT

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss