TEG horizontal logo 2

KKM setuju 4 pindaan pada RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju membuat empat pindaan ke atas Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, termasuk mengurangkan kadar denda am terbabit.

RUU itu bakal memperkenalkan inisiatif generasi penamat (GEG) melalui penguatkuasaan larangan merokok ke atas individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya.

enteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata keputusan itu dibuat selepas beliau bertemu serta berbincang dengan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial Parlimen, serta PSC Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen, hari ini.

Beliau memaklumkan, antara pindaan dipersetujui itu ialah mengurangkan kadar denda am untuk GEG sebanyak 90 peratus, di samping tidak mengenakan hukuman bagi kesalahan memiliki rokok dan barangan larangan lain bawah RUU itu bagi individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya.

Selain itu, katanya, KKM bersetuju memasukkan khidmat komuniti sebagai antara pilihan hukuman dalam RUU berkenaan.

“Hari ini, saya bertemu PSC Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial Parlimen, serta Pengerusi PSC Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen, Dr Kelvin Yii Lee Wuen.

“Pertemuan itu produktif, dan atas semangat bipartisan, saya bersetuju membuat beberapa pindaan (terhadap RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022).

“Pertama, mengurangkan kadar denda am untuk GEG dalam akta ini daripada RM5,000 kepada RM500. Kedua, menambah khidmat komuniti sebagai pilihan berbanding denda (yang dimandatkan mahkamah).

“Ketiga, tiada pemeriksaan tubuh terhadap mana-mana individu bawah usia 18 tahun. Keempat, tiada hukuman untuk kesalahan pemilikan yang berkait dengan GEG.

“Dengan keputusan ini, majoriti daripada cadangan yang dikemukakan oleh kedua-dua PSC sudah dilaksanakan sebagai pindaan dalam RUU,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Khamis lalu, Dr Kelvin dilaporkan berkata, PSC Kesihatan, Sains dan Inovasi Parlimen mengesyorkan beberapa pindaan terhadap RUU itu, antaranya meminta penguatkuasaan larangan merokok ke atas GEG, ditangguhkan selama tiga tahun selepas RUU berkenaan diluluskan nanti.

Jawatankuasa itu turut mencadangkan supaya individu yang melakukan kesalahan seperti digariskan dalam RUU berkenaan, khususnya remaja berusia bawah 18 tahun, tidak dikenakan hukuman penjara, sebaliknya dikenakan denda rendah, khidmat masyarakat atau kaunseling mandatori.

Pada 27 Julai lalu, Khairy membentangkan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Ia antara lain mengetengahkan larangan merokok apa-apa produk tembakau atau pengganti tembakau serta larangan penggunaan peranti merokok, oleh mana-mana individu yang lahir pada 2007 dan seterusnya serta bagi perkara berkaitan.

RUU itu juga menggariskan peruntukan bagi pendaftaran produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau, selain mengawal pengiklanan, promosi dan penajaan, penjualan serta pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok.

SUMBER: BH Online

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss