Khabarnya satu konvensyen pengilang dan pengedar vape telah diadakan di sini. Ramai peserta luar negara menyatakan keputusan kerajaan mengeluarkan racun nikotin dari Akta Racun mendorong mereka untuk datang ke Malaysia yang kini di anggap pasaran vape utama di rantau ini. Lihat lah kesan dasar yang saya anggap sonsang ini (bila racun nikotin dikeluarkan pada ketika tiada undang2 wujud untuk mengawalnya dan Akta Rokok masih belum dibentangkan di parlimen). Apabila saingan sengit, lihatlah nanti kehebatan pasaran dan promosi dan tidak mustahil semudah mendapatkannya di “vending machine” kerana tiada undang2 yg kawal. Implikasi terhadap kesihatan rakyat Malaysia amat membimbangkan.
2. Kajian NHMS 2019 – kadar perokok rokok 15 tahun ke atas 20.9%, e-Cigg/vape 4.9%. Katanya kadar pengguna vape melonjak mendadak ke 14.9% (meningkat 204.1%) dalam tahun 2022. Dengan racun nikotin yg sudah tidak dikawal, akan menyebabkan ketagihan, saya yakin peratusan ini akan meningkat dengan lebih tinggi. Mana logiknya menggenakan cukai akan mengawal penggunaan vape?
3. Pilihanraya negeri akan dilaksanakan tidak lama lagi. Kerajaan harus ambil kesempatan ini untuk membetulkan semula dasar sonsang (racun nikotin) dan membentangkan RUU Rokok dengan GEG sekarang. Kerana majoriti (suara besar) pengundi TIDAK merokok 79.1%. Rakyat jelas mahu RUU dan GEG kerana mahu melindungi generasi akan datang. Mana logiknya kerajaan takut pengundi lari kalau bentang RUU+GEG sedang majoriti pengundi tidak merokok? Yang bising berkokok adalah pengusaha vape dan rokok sedang mereka bukan pengundi majoriti.
4. Slogan Malaysia madani. Setiap kali tukar pemimpin tukar slogan. Tak apalah. Saya pun tak berapa faham apa maksud madani ni tapi kalau ikut Kamus Dewan madani = maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan.
Jadi nak tanya, apakah isu ketagihan rokok bertembakau dan sekarang vape bernikotin selari atau sinonim dengan konsep madani?
a. Apakah membudayakan tabiat yang memburukkan kesihatan itu memajukan pemikiran?
b. Apakah merokok dan tabiat yang menjurus kepada ketagihan yang jumhur ulama’ termasuk Almarhum Dr Yusof Qardhawi menyatakan haram, maju dari segi kerohanian? Tak usah berdalihlah bahawa ada perbezaan pendapat dalam fatwa tapi ambilah pendapat majoriti. Seperti tulisan Dr Yusof yang berhak menentukan kemudaratan adalah pakar yang ahli dalam bidang tersebut dan dalam konteks ini adalah pakar perubatan. Maka jika sudah disahkan memudaratkan, Dr Yusof kata haramlah dia.
c. Apakah menghabiskan wang kepada benda yang tidak berfaedah dan memudaratkan itu maju darj segi kebendaan?
5. Saya tak tahulah kalau orang yang waras pemikirannya boleh memberi jawapan “ya” kepada ketiga-tiga soalan di atas. Jadi kalau TIDAK, bererti memgecualikan racun nikotin TIDAK sinonim dengan konsep Malaysia madani. Tidak membentang dan meluluskan RUU Rokok TIDAK sinonim dengan falsafah Malaysia madani kerana kita membiarkan masalah ini berluasa. Meluluskan RUU TAMPA GEG juga TIDAK menghayati dan menjiwai semangat madani kerana kita gagal melindungi generasi akan datang dari perosak ini. Saya nak tanya Ahli Kabinet dan Ahli-Ahli Parlimen kerajaan, kalau AUSTRALIA tampa slogan Australia madani pun boleh haramkan vape, kita tak malu ke dengan slogan Malaysia madani tapi menyahkan nikotin dari senarai racun dan membiarkan vape berleluasa dan generasi akan datang tidak dilindungi dari serakah pemain industri? Saya tak tanya ahli parlimen pembakang sebab saya dengar jelas mereka sokong RUU+GEG
6. Saya pernah kata GEG sedikit pun tidak menganggu gugat perokok dan generasi sediaada. GEG tidak halang perokok dan pevape (boleh pakai istilah ini?) nak hisap banyak mana sampai keluar asap ikut telinga pun, hisaplah. Tapi yg kita nak lindung adalah generasi akan datang dari ketagihan yang merosakkan ini. Jadi apa yang bantah sangat GEG, tak sayang anak cucu kita ke? Mana drastiknya? Australia, Singapore haramkan vape tu baru drastik, tapi kita tak ikutpun.
7. Dulu kata nak bentang RUU+GEG dalam bulan Mei. Ni Mei dah dua minggu berlalu masih belum dengar apa2. Nanti Jun dah mula sibuk nak berkempen, tangguh lagi ke? Sudahnya begitulah, macam dipermain2kan saja.
Moga Allah melindungi generasi Malaysia akan datang dari musibah ini.
Lokman Hakim S
Pakar Perunding Kesihatan Awam, IMU
Felo Akademi Sains Malaysia.
Sumber: Lokman Hakim S