TEG horizontal logo 2

Kos rawatan kecederaan paru-paru akibat vape cecah RM150,000

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menganggarkan kos rawatan penyakit kecederaan paru-paru atau E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI) mencecah RM150,000 bagi tempoh 12 hari kemasukan ke wad.

Sebanyak 18 kes EVALI dan 20 kes lain berkaitan penggunaan rokok elektronik atau vape dilaporkan kepada KKM sejak 2022.

Sehubungan itu Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata KKM bercadang meneruskan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam.

Beliau berkata menerusi RUU itu, kawalan menyeluruh terhadap produk rokok elektronik atau vape akan dapat dilaksanakan termasuk larangan terhadap produk dan pembungkusan yang menyerupai permainan kanak-kanak.

“Kawalan terhadap perisa yang boleh menarik perhatian kanak-kanak dan remaja menggunakan produk ini juga boleh dilaksanakan melalui RUU ini,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-SIBU).

Chai Yew meminta Menteri Kesihatan menyatakan bagaimana untuk memastikan keselamatan vape serta nyatakan kesan baik dan buruk oleh vape. Beliau turut bertanyakan sama ada KKM akan mengehadkan vape supaya tidak mempunyai pembungkusan dan perisa yang menarik.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata kawalan bagi peranti rokok elektronik atau vape adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup melalui Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Rokok Elektronik) 2022 bagi memastikan setiap peranti mematuhi Standard Malaysia MS 2716 untuk menjamin keselamatan peranti berkenaan.

Beliau berkata bagi keselamatan cecair rokok elektronik, tiada sebarang standard ditetapkan KKM disebabkan tiada had yang selamat untuk bahan-bahan kimia yang terkandung di dalam cecair rokok elektronik atau vape berkenaan.

“Penggunaan rokok elektronik atau vape sungguh pun pada awalnya ia dicipta sebagai alternatif yang dikatakan lebih selamat daripada rokok tembakau namun kajian saintifik terkini membuktikan rokok alaf baharu termasuk vape tetap berbahaya.

“Pelbagai kajian saintifik yang dilaksanakan menemui banyak kesan buruk akibat penggunaan rokok elektronik atau vape terhadap kesihatan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss