NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menangani isu pengambilan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar sekolah secara besar-besaran.
Menteri, Fadhlina Sidek, berkata antara pendekatan yang diambil adalah dengan turun ke sekolah dan membuat pemantauan berhubung perkara itu.
Tegasnya, pengambilan vape dalam kalangan pelajar sekolah menjadi antara kesalahan besar dalam disiplin peringkat sekolah, malah ia adalah isu yang menjadi fokus utama KPM untuk ditangani secara serius, selain isu buli dan ponteng sekolah.
“Saya, Ketua Pengarah dan juga Datuk KSU (Ketua Setiausaha kementerian), akan turun untuk memberikan beberapa pendekatan dan melalui program-program dan bercakap sendiri dengan para pelajar, mengingatkan mereka tentang disiplin-disiplin yang perlu mereka perhatikan.
“Selain daripada buli, soal rokok, soal vape, ponteng sekolah, ini juga akan menjadi sebahagian daripada intervensi besar dalam gerakan kita menangani isu-isu sosial di peringkat sekolah,” katanya.
Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pemberita ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Program My Lesen (B2) Tahun 2024 Parlimen Nibong Tebal di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan USM, Transkrian, di sini, hari ini.
Jelasnya, KPM juga mengadakan kerjasama dengan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan pihak Swasta (PIBKS) dalam menangani isu pengambilan vape.
“Namun, peranan dan tanggungjawab ibu bapa juga juga harus dipertingkatkan terutamanya memantau kegiatan anak-anak mereka di rumah,” katanya.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, murid yang melakukan salah laku seperti merokok atau menghisap vape akan direkodkan dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) untuk tindakan intervensi oleh guru bimbingan dan kaunseling.
“Selain garis panduan sedia ada, KPM melaksanakan pelbagai program dan aktiviti pendidikan pencegahan seperti Program Skim Lencana Antidadah serta Program Lima Minit Antirokok dan Vape.
“Dalam pada itu, KPM turut melaksanakan Program Hidup Sihat Cegah Rokok dan Vape bagi mengekang trend murid yang menjadikan tabiat menghisap rokok dan vape sebagai satu kebiasaan bagi menerapkan nilai kesedaran murid akan bahaya rokok dan vape serta membentuk jati diri yang unggul,” katanya.
Sumber: Berita Harian