GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya segera menguatkuasakan larangan mempamerkan produk vape, e-rokok, rokok dan barangan lain berkaitan tembakau di kaunter pembayaran di semua kedai di negara ini.
Pegawai Pendidikannya, NV Subbarow, berkata tindakan itu penting dalam melindungi generasi muda daripada pengaruh bahaya akibat tabiat merokok.
Beliau berkata, kanak-kanak dan remaja menjadi sasaran mudah oleh industri, terutama dengan pelbagai produk yang menarik perhatian daripada segi reka bentuk, warna dan aneka perisa.
“Walaupun undang-undang sedia ada melarang kanak-kanak daripada membeli atau memiliki produk rokok, tarikan visual dan keinginan mencuba meningkatkan risiko mereka terjebak ke dalam kancah bahaya ini tanpa menyedari risiko kesihatan yang lebih serius.
“Keadaan kini semakin membimbangkan, jika kawalan ketat terhadap produk nikotin ini tidak dilaksanakan segera, semakin ramai anak muda akan terjerat dalam tabiat menghisap vape yang membawa kepada peningkatan ketagihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, CAP menekankan penguatkuasaan larangan mempamerkan produk vape, e-rokok dan rokok adalah satu langkah yang tidak boleh ditangguh lagi.
Katanya, penguatkuasaan itu bukan sahaja boleh mengurangkan pendedahan awal kepada tabiat merokok dan menghisap vape dalam kalangan kanak-kanak serta remaja, tetapi juga menyekat normalisasi penggunaan bahan berbahaya itu dalam masyarakat.
“Larangan pamerkan juga menunjukkan komitmen kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) yang tidak akan berkompromi dalam melindungi kesihatan awam.
“Adalah penting bagi pihak berkuasa bertindak tegas dan memastikan peraturan ini dilaksanakan dengan lebih ketat supaya usaha memerangi ketagihan nikotin dan melindungi masyarakat, terutama golongan muda dapat dicapai sepenuhnya,” katanya.
Sumber: Berita Harian