TEG horizontal logo 2

Kutip 1,000 puntung rokok dalam masa 30 minit

KEMAMAN – Sebanyak 1,000 puntung rokok berjaya dikutip di sekitar kawasan Pantai Teluk Kalong, Kijal di sini hanya dalam tempoh setengah jam.

Pengerusi Geng Plastik Ija, Zulkefli Sarji berkata, jumlah kutipan yang tinggi dalam tempoh singkat itu bukan sahaja menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab malah memberi kesan kepada pencemaran alam sekitar.

“Jumlah puntung rokok yang dikutip agak tinggi menunjukkan tabiat sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab dengan membuang sampah merata-rata.

“Puntung rokok itu sendiri ada banyak bahan kimia maka apabila kita buang merata-rata ia menyebabkan pencemaran tanah dan air. Kebanyakan puntung rokok dibuang di kawasan seperti parkir kereta dan di bawah pokok-pokok berhampiran pantai.

“Ia juga boleh menyebabkan berlakunya kebakaran terutama pada musim panas ini sekiranya puntung rokok itu dibuang begitu sahaja di kawasan yang mempunyai banyak daun pokok,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

seramai 150 sukarelawan yang terlibat dalam program Beach Cleaning di Pantai Teluk Kalong.
Seramai 150 sukarelawan yang terlibat dalam program Beach Cleaning di Pantai Teluk Kalong.

Mengulas lanjut, Zulkefli berkata, seramai 150 sukarelawan yang terlibat dalam program Beach Cleaning di Pantai Teluk Kalong.

Menurutnya, pelbagai jenis sisa buangan ditemui di sekitar kawasan pantai itu antaranya plastik, botol dan bekas makanan.

“Secara keseluruhan, sebanyak 152 kilogram sampah yang dikutip dalam program tersebut dan ia merangkumi sampah termasuk bekas makanan, botol, tisu, plastik dan air kotak.

“Bagi kutipan puntung rokok sebanyak 1,000 selama 30 minit itu hanya dibuat seorang individu sahaja yang merupakan ahli Geng Plastik Ija iaitu Ruslin Kamarudin. Dia hanya mengutip putung rokok di kawasan skala kecil yang hanya tertumpu di parkir dan bawah pokok.

“Jika tempoh setengah jam kita boleh kumpul puntung rokok sebanyak itu maka bayangkan berapa banyak lagi kita berjaya kutip jika ia diadakan dalam tempoh yang lama melibatkan ramai pihak dan kawasan lebih luas.

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss