SARATOK: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menghalang penolong pegawai kesihatan persekitaran dari Pejabat Kesihatan Daerah Saratok dalam melaksanakan tugas.
Tertuduh yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu seterusnya dijatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara sebulan oleh Majistret Intan Nurul Farena Zainal Abidin atas kesalahan di bawah Seksyen 4(4), Akta Makanan 1983.
Mengikut fakta kes, kejadian berlaku pada awal bulan April lalu ketika pasukan penguatkuasaan yang terdiri daripada penolong pegawai kesihatan persekitaran dari Pejabat Kesihatan Daerah Saratok telah menjalankan operasi penguatkuasaan ke atas premis makanan di sekitar bandar Saratok.
Tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau iaitu merokok di kawasan larangan merokok.
Ketika dihampiri Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Hasrol Hamdan, tertuduh telah membuang puntung rokoknya dan enggan memberi maklumat pengenalan diri.
Selain itu, satu rakaman video kamera badan telah diambil bagi tujuan rekod dan tindakan perundangan.
Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Saratok dan siasatan awal dibuat mendapati tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(4), Akta Makanan 1983, iaitu menghalang atau merintangi mana-mana pegawai berkuasa semasa menjalankan kewajipannya.
Unit Inspektorat dan Perundangan, Pejabat Kesihatan Daerah Saratok seterusnya mengeluarkan Notis Memerintahkan Kehadiran Di Mahkamah (Notis di Bawah Seksyen 32B) Akta Makanan 1983 kepada tertuduh atas kesalahan dibawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, di mana ia adalah kesalahan boleh dikompaun.
Tawaran kompaun telah dikeluarkan dan pembayaran kompaun telah dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah Saratok.
Pegawai penyiasat Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Mohd Rahimi Ramli dari Pejabat Kesihatan Daerah Saratok seterusnya membuka kertas siasatan dan membuat siasatan susulan untuk kesalahan di bawah Seksyen 4(4) Akta Makanan 1983 dan mendaftarkan kes tersebut di Mahkamah Majistret Saratok setelah mendapat izin untuk mendakwa daripada Timbalan Pendakwa Raya.
Kes telah dikendalikan Pegawai Pendakwa Tazudin Murni dan Andy Yet Yew Huat dari Seksyen Inspektorat dan Perundangan, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, yang telah membuat pemberatan bagi kes ini dengan hujahan bahawa kes ini adalah kes pertama yang dikendalikan Jabatan Kesihatan iaitu kesalahan di bawah Seksyen 4(4) Akta Makanan, kerana menghalang atau merintangi pegawai berkuasa semasa menjalankan kewajipannya semasa operasi penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di Kawasan Larangan Merokok.
Pegawai pendakwa telah memohon mahkamah agar hukuman yang bersifat pencegahan dikenakan sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, tetapi juga untuk menyampaikan mesej tegas kepada orang awam agar menghormati penjawat awam yang sedang menjalankan tugas dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.
Sumber: Utusan Borneo