TEG horizontal logo 2

Malaysia belum bersedia

PENYUMBANG punca kematian dan penyakit kronik banyak dikaitkan dengan tabiat merokok.

Di Malaysia sahaja, statistik menunjukkan terdapat lebih 4.8 juta perokok dan sudah mencatatkan sehingga 27,200 kes kematian disebabkan rokok dan pendedahan kepadanya.

Kerajaan juga sudah memperuntukkan 7.4 bilion untuk rawatan penyakit utama disebabkan rokok termasuklah kanser paru-paru dan jantung koronari menjelang 2025.

Pelbagai pihak mencadangkan supaya mempertimbangkan produk pengganti tembakau atau lebih dikenali sebagai vape dalam strategi Pengurangan Kemudaratan Tembakau (THR) yang berasaskan bukti-bukti saintifik untuk dibincangkan dengan perokok.

Ia boleh digunakan sebagai bantuan berhenti jangka pendek atau sebagai alternatif jangka panjang yang kurang memudaratkan berbanding merokok.

Pegawai Farmasi Berdaftar merangkap Presiden Pertubuhan Medical Mythbusters Malaysia (M3), Mohd Dziehan Mustapa, berkata Malaysia belum boleh memberi kata putus untuk menggalakkan perokok bertukar kepada vape sebagai rawatan atau alternatif berhenti merokok.

Ini kerana, Tinjauan Morbiditi Kesihatan yang dijalankan dari 1986 sehingga 2019 menunjukkan jumlah perokok tembakau dewasa di Malaysia masih sangat tinggi iaitu 45 peratus berbanding negara maju lain seperti New Zealand yang mencatatkan penurunan.

“Kita masih nak melihat sama ada konsep ini boleh diterima melalui kajian saintifik sama ada adakah ia boleh mengurangkan kesan mudarat atau kematian kerana penelitian itu masih belum cukup.

“Kalau kita lihat konsep pengurangan mudarat, ia bermula dengan program terapi metadon yang dikendalikan oleh pakar kesihatan yang tahu bagaimana nak uruskan penggunaan metadon dalam terapi pengurangan mudarat.

“Kalau kita tengok apa yang diperjuangkan sekarang ini untuk pengurangan mudarat tembakau, ia lebih kepada leisure dan bukan sesuatu yang tersusun untuk tujuan sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bicara BH bertajuk ‘Vape atau rokok tembakau: Yang mana lebih memudaratkan?’, secara maya di platform Facebook BH, baru-baru ini.

Ia dihoskan oleh Azaria Tagaya dan turut dihadiri tetamu jemputan, Ketua Pegawai Farmasi, Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia, Sulastri Samsudin.

Mohd Dziehan berkata, lebih mengejutkan Tinjauan Morbiditi Kesihatan turut mendedahkan lebih 1.2 juta pengguna vape di Malaysia tidak pernah merokok.

“Sebab itu sekarang ini kita tertanya-tanya di mana konsep atau asas kepada pengurangan mudarat sekiranya benar vape mampu membantu perokok berhenti merokok.

“Tidak seperti New Zealand yang mencadangkan vape kepada perokok tegar dan mencatatkan penurunan jumlah perokok secara mendadak,” katanya.

Beliau turut berkongsi tinjauan yang dilakukan Yayasan Pernafasan dan Asma New Zealand sebelum negara itu membenarkan penggunaan vape sebagai alternatif berhenti merokok, menunjukkan daripada 27 peratus remaja yang menggunakan vape, hanya 15 peratus sahaja yang menghisap rokok.

Tinjauan dengan responden remaja paling ramai di dunia iaitu sebanyak 19,000 itu menunjukkan majoriti vape yang digunakan mengandungi dos nikotin yang sangat tinggi.

“Sama seperti di United Kingdom, 1 daripada remaja di sana menggunakan vape.

“Jika nak buat konsep sama di Malaysia, bagi saya ia lebih mendatangkan mudarat berbanding mengurangkannya,” katanya.

Mengulas dakwaan beberapa pihak yang mendakwa vape kurang mudarat disebabkan cecair atau bahan kimia yang terdapat dalam vape kurang bahaya, Sulastri berkongsi kebanyakan vape hanya meletakkan tiga bahan pada label botol vape.

“Kebanyakan botol vape yang dijual bermula sekitar 2015 di Malaysia yang memfokuskan untuk perokok berhenti merokok hanya melabel tiga bahan yang didakwa berasaskan makanan seperti bahan pelarut dan perisa.

“Sedangkan bukti atau kajian yang ada sudah banyak mengenalpasti terdapat bahan kimia mencurigakan terkandung dalam cecair vape.

“Bila terdapat isu sebegini, kita belum tahu apa kesan buruk pada kesihatan dan perlu juga mengambil kira kesan jangka panjang,” katanya.

Sulastri turut berkongsi, bahan kimia yang terkandung dalam vape turut memberi kesan terhadap kanak-kanak yang sedang membesar terutamanya pada bahagian otak.

“Nikotin mampu memberi kesan pada memori, perhatian dan kawalan emosi seorang kanak-kanak yang menjadi fungsi penting untuk tumbesaran dan pembelajaran,” katanya.

Sulastri berkata, nikotin turut memberi kesan pada organ belum matang seperti buah pinggang dan hati yang mempengaruhi kadar serapan, perkumuhan, dan motabolisma bahan kimia.

“Bila terdedah kepada bahan kimia pada dos tertentu, kadar penyerapan mereka lebih cepat tidak seperti orang dewasa.

“Saya ambil contoh asap rokok atau vape misalnya, kulit bayi dan kanak-kanak yang lembap akan menyerap lebih cepat.

“Kita bimbang mereka akan suka bau itu jika terus mendekat dan menerima kesan buruk terlebih dahulu berbanding pengguna vape,” katanya.

Terdahulu, KKM membentangkan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok (RUU) yang melarang sebarang bentuk penjualan, pembelian dan pemilikan produk tembakau atau penggantinya seperti vape terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005 (Generational End Game).

SUMBER : Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss