TEG horizontal logo 2

Meleraikan Kerisauan YB Syed Saddiq Tentang Generasi Penamat

Baru-baru ini Presiden Parti MUDA yang juga YB Ahli Parlimen Muar mengutarakan tiga kerisauan berkenaan cadangan YB Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk mewujudkan generasi penamat tabiat merokok. Saya hargai YB mengutarakan kerisauan berbanding membantah mentah-mentah cadangan Menteri Kesihatan ini. Maka saya berhasrat untuk meleraikan kerisauan-kerisauan YB supaya YB boleh menyatakan sokongan 100% terhadap cadangan mewujudkan generasi penamat ini tanpa sebarang keraguan.

Sebelum itu, apakah itu generasi penamat?

Malaysia telah menjalankan pelbagai usaha dalam kawalan tembakau sejak lebih 10 tahun lepas. Namun, penurunan prevalen penggunaan produk tembakau amatlah sedikit, hanya daripada 23% kepada 21% sejak tahun 1986. Produk-produk tembakau sudah terbukti mengancam kesihatan masyarakat, bahkan di Malaysia sahaja, rokok telah membunuh sekitar 20,000 penggunanya setiap tahun! Maka langkah yang lebih baik diperlukan untuk menamatkan tabiat penggunaan produk tembakau dalam kalangan rakyat Malaysia.

Punca utama kesukaran untuk mengurangkan tabiat merokok ialah kuatnya ketagihan terhadap nikotin, bahan kimia yang wujud dalam setiap produk tembakau. Kajian pada tahun 1994 menunjukkan penggunaan nikotin akan menyebabkan kebergantungan terhadap nikotin lebih teruk daripada heroin dan kokain. Atas sebab itu, langkah terbaik untuk menamatkan tabiat merokok ialah mencegah generasi baharu daripada memulakan tabiat merokok.

Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia mencadangan untuk mewujudkan generasi penamat bagi tabiat merokok. Kita ingin halang generasi yang lahir pada tahun 2005 memulakan tabiat merokok lalu mendedahkan diri kepada ketagihan terhadap nikotin dengan mengharamkan terus akses mereka terhadap rokok. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat.

Maka ayuh kita perhalusi kerisauan YB Syed Saddiq.

  1. Impak kepada peniaga kecil

Generasi penamat tabiat merokok ini hanya akan mengharamkan rokok kepada generasi baharu dalam kalangan mereka yang lahir pada tahun 2005 dan seterusnya sahaja. Ia bukanlah pengharaman rokok secara menyeluruh dan mendadak.

Tahun hadapan misalnya, peniaga-peniaga masih boleh menjual rokok kepada semua yang sebelum tahun 2005 seperti biasa. Bezanya cuma mereka tidak boleh menjual pada pengguna baharu yang baru mencecah umur 18 tahun – umur yang sebelum ini membolehkan mereka membeli rokok.

Maka, sekalipun terdapat impak kepada peniaga kecil, ia bersifat minimal dan berperingkat – justeru memberi masa untuk peniaga-peniaga kecil beradaptasi dengan merancang model perniagaan yang baharu sesuai dengan rancangan generasi penamat tabiat merokok.

Kerisauan serupa dibangkitkan oleh persatuan-persatuan pemilik kedai makan ketika awal pengumuman perlaksanaan larangan merokok di premis makanan pada tahun 2018. Akhirnya selepas implimentasi, kedai-kedai makan boleh sahaja beradaptasi dengan larangan ini. Bahkan kita dapat melihat semakin ramai pelanggan yang hadir membawa ahli keluarga bersama anak-anak kecil ke restoran.

Kita harus percaya kepada kemampuan dan kebijaksanaan para usahawan kita untuk beradaptasi. Takkanlah model perniagaan mereka harus bergantung kepada kewujudan penagih-penagih produk tembakau yang baharu sampai bila-bila? Bak kata pepatah, perjalanan 1000 batu bermula dengan langkah pertama. Inilah langkahnya – secara perlahan-lahan dan berperingkat – demi masa depan bebas produk tembakau.

  1. Kebebasan individu – cerun licin kepada pengharaman lain seperti alkohol

Produk tembakau seperti rokok bukan sahaja boleh menyebabkan bahaya kepada penggunanya sahaja, tetapi ia juga membahayakan orang sekeliling.

Sebuah kajian dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia pada tahun 2019 menunjukkan 2 daripada 5 orang pelajar terdedah kepada asap rokok pasif – terdedah kepada asap rokok walaupun mereka tidak merokok secara aktif. Kesan rokok pasif ini tidak boleh ditolak tepi. Di Amerika Syarikat, dianggarkan sekitar 34,000 kematian daripada masalah jantung terkait asap rokok pasif setiap tahun. Apabila terdedah kepada asap rokok pasif di rumah atau tempat kerja, risiko penyakit jantung meningkat sebanyak 25-30%, risiko strok meningkat sebanyak 20-30%.

Masalah menjadi lebih rumit apabila asap rokok pasif ini bukan sahaja membahayakan apabila ada rokok yang sedang menyala dalam ruang tersebut. Perokok yang merokok semalam boleh membahayakan orang lain hari ini.

Kajian menunjukkan bahan-bahan toksik pada asap rokok boleh meninggalkan kesan pada permukaan serta menyerap masuk ke dalam fabrik. Hal ini terutamanya membahayakan bayi dan kanak-kanak yang merangkak dan bermain di atas lantai. Kajian menunjukkan pendedahan kepada bahan toksik begini boleh menyebabkan kanser, merosakkan hati, asma, dan pelbagai lagi penyakit lain.

Kebebasan individu itu masih ada garisan sempadannya dan terhenti apabila perbuatan merokok itu boleh membahayakan orang lain yang tidak memilih pun untuk merokok.

Kita sudahpun ada banyak undang-undang yang mengawal kebebasan individu untuk mengelakkan bahaya kepada diri sendiri dan orang lain. Contoh mudah, peraturan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar dan helmet. Kalau ingin contoh yang lebih dekat, kita juga mengharamkan morfin, kokain, syabu, dan heroin. Kita tidak pernah merasakan undang-undang ini melanggar kebebasan individu, sebaliknya kita faham undang-undang begini ialah untuk melindungi kita daripada bahaya. Inilah juga peranan kerajaan dalam memastikan keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan setiap individu dipelihara.

  1. Rokok seludup

Ini adalah hujah sekian lama yang digunakan, melihatkan kepada kegagalan pengharaman menyeluruh alkohol di Amerika Syarikat pada 1920 yang hanya bertahan selama 13 tahun, sebahagiannya kerana ia pasaran gelap alkohol menggagalkan usaha tersebut.

Namun, kita belajar daripada sejarah tersebut, dengan melakukan generasi penamat. Kita masih benarkan orang yang sudah lama ketagih membeli produk tembakau seperti biasa, tetapi menghalang pengguna baharu dalam generasi baharu untuk mula ketagih produk tembakau. Jika sudah ketagih, sekalipun produk tembakau itu diharamkan, mereka akan mencarinya di pasaran gelap. Kita cegah sebelum parah.

Jangan samakan pengharaman mendadak dengan generasi penamat. Sepatutnya apabila kurang wujudnya perokok baru, maka berkuranglah target dan aktiviti pasaran gelap. Mereka hanya boleh mensasarkan perokok sedia ada sahaja.

Apapun, mahu tidak mahu, kita kena banteras aktiviti penyeludupan dengan lebih serius. Ia bukan alasan untuk kita tidak mewujudkan generasi penamat tabiat merokok – sama seperti ia bukan alasan untuk tidak mengharamkan morfin, kokain, syabu, heroin, dan sebagainya.

Bahkan, kita patut ajukan soalan kepada Jabatan Kastam, apakah yang telah berlaku selama ini sehingga Malaysia menjadi pasaran terbesar rokok seludup di dunia? Adakah wujud masalah integriti dalam kalangan penguatkuasaan? Pun begitu, baru-baru ini kita saksikan siri penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap rokok seludup, sehingga berjaya merampas rokok seludup bernilai jutaan ringgit. Sekiranya prestasi ini diteruskan dan dipertingkatkan, tentu kerisauan berkenaan rokok seludup dapat dikurangkan.

Bahkan, sekalipun mereka membeli rokok seludup, jika mereka menggunakannya secara tersorok-sorok di tempat tertutup akibat pengharaman, itu sahaja pun sudah mengurangkan risiko asap rokok pasif kepada orang lain.

Mungkin ada yang akan tanya, bagaimana pula dengan pelajar sekolah yang sudahpun ketagih terhadap nikotin? Mereka ini sudah pun mendapatkan produk tembakau daripada sumber yang tidak sepatutnya atau pasaran gelap.

Setidak-tidaknya, kerajaan menunjukkan mesej yang jelas, produk tembakau membawa bahaya yang cukup serius sehingga melayakkan produk-produk itu diharamkan. Apabila kerajaan memberitahu rakyat bahawa produk tembakau membahayakan kesihatan, tetapi dalam masa yang sama membenarkan penjualan rokok secara sah serta menikmati pendapatan yang besar hasil daripada cukai rokok, ia memberikan mesej yang bercampur kepada masyarakat.

Apabila angka korban akibat COVID-19 mencecah 123, kita mewajibkan pemakaian pelitup muka. Apabila ia mencecah 555, kita diisytiharkan darurat. Angka kematian akibat rokok ialah 20,000 setiap tahun! Adakah kita hendak terus beralasan atau kita hendak bertindak sekarang? Bak kata mantan Menteri Kesihatan Australia Nicola Roxon, “kita sedang membunuh dengan tidak bertindak.”

AZHARI BIN AZIZI
Jawatankuasa SmokeFree,
Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health)
Orang Muda, Pelajar Sarjana Amalan Farmasi,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss