TEG horizontal logo 2

Menyamar sebagai penghantar makanan edar air ketum, vape berisi dadah

Air dan serbuk ketum serta cecair vape mengandungi dadah yang dirampas susulan penahanan seorang lelaki yang menyamar penghantar makanan di Sandakan. – Foto PDRM

SANDAKAN: Taktik lelaki berusia 42 tahun menyamar sebagai penghantar makanan untuk mengedar air ketum dan cecair vape mengandungi dadah, terbongkar selepas ditahan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintenden K Ramasamy berkata, pihaknya menahan lelaki itu ketika memproses air ketum di rumahnya di Taman Tai Fai Yen, Jalan Utara, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, Jumaat lalu.

Beliau berkata, pihaknya juga menemui 88 botol plastik lutsinar pelbagai saiz mengandungi 225.32 liter air ketum yang dianggarkan bernilai RM6,760 dalam serbuan itu.

“Selain itu, turut ditemui enam bungkusan plastik lutsinar berisi serbuk ketum dianggarkan seberat 7.85 kilogram bernilai RM2,000 berserta peralatan memproses air ketum dan 227 botol cecair vape pelbagai jenama dan saiz disyaki mengandungi dadah dengan anggaran nilai RM16,470,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek menjalankan aktiviti memproses air ketum sejak dua tahun lalu dan pernah ditahan atas kesalahan yang sama.

“Modus operandi suspek ialah memproses dan menjual sendiri air ketum kepada pelanggan tetap dengan menyamar sebagai penghantar makanan bagi mengaburi mata pihak polis.

“Suspek juga mempunyai lima rekod jenayah lampau atas kesalahan Akta Dadah Berbahaya dan Akta Racun 1952,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan, suspek negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

“Semua bahan ketum dan cecair vape yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM25,230 dan suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 20 Ogos ini manakala kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Ramasamy berkata, pihaknya dalam tindakan mengesan pembekal terbabit dalam aktiviti pengedaran serbuk ketum dan cecair vape yang mengandungi dadah.

Sumber: Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss