TEG horizontal logo 2

Merokok dalam premis makanan, kompaun RM3.3 juta dikeluarkan

Kuala Lumpur: Sebanyak 13,331 notis kesalahan dengan nilai kompaun RM3.3 juta dikeluarkan kepada individu yang dikenal pasti merokok di premis makanan seluruh negara hingga Mac lalu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, sebanyak 948 notis kesalahan pula dikeluarkan mengikut Peraturan 12 (1) (a) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) (2004) iaitu gagal mempamerkan tanda larangan merokok dikeluarkan kepada pemilik premis.

Menurutnya, bagi kesalahan mengikut Peraturan 12(1)(b) kerana gagal memastikan tiada orang merokok di premisnya, sebanyak 494 notis kesalahan untuk tempoh sama.

“Secara keseluruhan sebanyak 29,817 notis sudah dikeluarkan bagi semua kesalahan merokok di tempat larangan dengan operasi yang dilakukan sebanyak 4,113 untuk tempoh sehingga Mac lalu,” katanya dalam kenyataan kepada Harian Metro.

Kenyataan itu berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 30,648 notis kesalahan dengan nilai kompaun RM 7.6 juta dikeluarkan kepada individu yang merokok di premis makanan.

Menurutnya, Selangor mencatatkan pengeluaran notis kesalahan tertinggi iaitu 14,124 diikuti dengan Pahang sebanyak 7,948 dan Johor sebanyak 7,111.

Katanya, sebanyak 2,445 notis kesalahan pula dikeluarkan kepada pemilik premis mengikut Peraturan 12(1) (a), manakala sebanyak 1,433 notis dikeluarkan mengikut Peraturan 12(1)(b).

“Untuk tahun lalu secara keseluruhan sebanyak 67,123 notis kesalahan dikeluarkan bagi semua kesalahan merokok di tempat larangan dengan jumlah operasi dilakukan ialah 12,773,” katanya.

Menurut KKM, pihaknya terus giat melakukan penguatkuasaan larangan merokok di tempat yang diwartakan terutama di premis makanan selain turut melaksanakan advokasi bagi meningkatkan kesedaran orang awam bagi mematuhi peraturan larangan merokok yang ditetapkan.

“Secara amnya kesedaran orang ramai terhadap peraturan larangan merokok terutamanya di tempat makan semakin meningkat, namun usaha masih perlu dipergiatkan untuk meningkatkan pematuhan orang ramai terhadap pematuhan itu.

“KKM juga mewujudkan talian aduan merokok bagi membolehkan orang awam menyalurkan aduan dan ia masih aktif menerima aduan awam. Aduan juga sudah dianalisa dan disalurkan ke Jabatan Kesihatan Negeri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Berhubung saranan pemilik premis yang meminta pihaknya melihat semula akta yang membolehkan mereka turut dikenakan kompaun atas kesalahan membenarkan merokok di premis biarpun sudah melarang tindakan itu, KKM berkata, notis akan dikeluarkan sekiranya didapati ada kesalahan.

“Biarpun mengikut undang-undang sedia ada iaitu Peraturan 12 memperuntukkan tanggungjawab pemilik premis untuk memastikan tiada orang merokok di premis mereka.

“Namun (notis) hanya dibuat sekiranya dibuktikan ketidakpatuhan pemilik premis dengan tindakan mereka menyediakan kemudahan merokok seperti bekas habuk rokok dan sediakan kawasan merokok dalam kawasan larangan,” katanya.

Kenyataan itu berkata, mengikut peraturan sama juga, pemilik premis akan ditafsirkan melakukan kesalahan sekiranya terdapat bukti menunjukkan kegagalan pihak terbabit memastikan tempat makan itu bebas daripada aktiviti merokok.

“Ia seperti ada puntung rokok yang banyak atau ketika penguatkuasaan dilakukan, aktiviti merokok di premis mereka secara berleluasa,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss