Menjelang Hari Kanak-Kanak Sedunia pada 20 November 2024 bertemakan “Untuk Setiap Kanak-Kanak, Setiap Hak,” kita dipanggil untuk menghormati hak asasi generasi muda kita. Antara hak utama yang perlu diberi perhatian adalah hak kesihatan, pendidikan berkualiti, dan perlindungan daripada pengaruh berbahaya.
Salah satu ancaman utama kepada kesejahteraan kanak-kanak hari ini adalah peningkatan penggunaan rokok elektronik dan vape dalam kalangan remaja.
Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang baru dilaksanakan di Malaysia pada 1 Oktober menyediakan rangka kerja undang-undang penting untuk menangani isu ini.
Walaubagaimanapun, undang-undang sahaja tidak mencukupi, kita perlu memanfaatkan pendidikan dan media sosial sebagai sekutu utama dalam melindungi masa depan mereka.
Penggunaan vape yang semakin popular dalam kalangan remaja, bersama dengan tempoh masa yang panjang dihabiskan di media sosial, menambah lagi kebimbangan. Platform media sosial bukan hanya sebagai saluran berhubung tetapi juga medan bagi industri tembakau untuk menarik pengguna muda ke dalam kitaran ketagihan nikotin.
Melalui promosi vape yang menarik dengan bentuk dan rasa seperti kartun atau pembungkusan berwarna cerah, mereka menggambarkan penggunaan vape sebagai sesuatu yang tidak berbahaya. Jika masalah itu tidak ditangani segera, ia boleh memberi kesan buruk kepada negara, termasuk masalah kesihatan yang teruk seperti masalah pernafasan, penyakit jantung, dan kemerosotan kognitif.
Golongan muda yang mula menggunakan vape sering berisiko beralih kepada rokok tradisional atau menjadi pengguna kedua-dua produk, meningkatkan lagi risiko ketagihan jangka panjang.
Nikotin boleh mempengaruhi perkembangan otak remaja, termasuk tumpuan, ingatan dan pengawalan emosi. Tanpa intervensi yang tepat, kesan fizikal dan mental akibat vape boleh memberi cabaran sepanjang hayat kepada mereka.
Kajian menunjukkan pendedahan kepada kandungan pro-vape di media sosial berkait langsung dengan peningkatan penggunaan vape dalam kalangan belia. Taktik seperti sokongan selebriti memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi golongan muda terhadap vape.
Luana Chacon Santos dari Universiti York memberi amaran, “Normalisasi rokok elektronik dalam kalangan golongan muda boleh membawa kepada pengulangan pola berbahaya yang kita lihat dalam industri tembakau dahulu.”
Namun, media sosial juga menawarkan peluang untuk mendekati golongan muda. Kajian menunjukkan keberkesanan kempen anti-vaping di media sosial, dengan kempen selama 60 hari di platform seperti Facebook dan Instagram berjaya mengubah sikap golongan muda terhadap vape.
Peserta kempen melaporkan niat yang lebih rendah untuk menggunakan vape dan meningkatnya ketidakpercayaan terhadap industri tembakau.
Untuk memanfaatkan potensi media sosial sepenuhnya, pendekatan strategik diperlukan. Kerjasama dengan pempengaruh popular yang menyokong gaya hidup sihat tanpa vape dapat memperkukuh mesej tersebut.
Kandungan menarik seperti infografik, ‘meme’, dan video pendek mampu menyampaikan maklumat kesihatan dengan cara yang diminati oleh golongan muda.
Institusi pendidikan juga memainkan peranan penting. Sekolah perlu memasukkan pelajaran komprehensif mengenai bahaya vape dalam program kesihatan mereka, sambil memanfaatkan media sosial untuk menjangkau pelajar di luar bilik darjah.
Pembuat dasar juga harus melaksanakan peraturan ketat terhadap pengiklanan media sosial dan memantau pemasaran pempengaruh untuk melindungi golongan muda.
Menjelang Hari Kanak-Kanak Sedunia 2024, marilah kita bersama-sama memastikan setiap kanak-kanak mendapat pengetahuan dan sumber daya untuk membuat keputusan bijak tentang kesihatan mereka.
Selain pendidikan, kanak-kanak juga perlu dibimbing untuk membina ketahanan agar dapat berkata “tidak” kepada vape, walaupun terdapat tekanan daripada rakan sebaya, keluarga atau masyarakat.
Usaha industri tembakau untuk menarik anak-anak kita ke dalam kitaran ketagihan nikotin adalah berterusan tetapi begitu juga tekad kita untuk melindungi masa depan mereka. Dengan Akta 852 sebagai asas perundangan, kini masanya untuk menggunakan pengaruh media sosial dan pendidikan untuk mengubah keadaan.
Demi kesihatan dan keselamatan setiap kanak-kanak, kita mesti bertindak sekarang. Dengan mengutamakan pendidikan, memanfaatkan media sosial, serta menguatkuasakan langkah peraturan yang ketat, kita dapat mencipta generasi yang lebih sihat dan berinformasi.
Sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia ini, marilah kita bersatu untuk melindungi hak setiap kanak-kanak kepada masa depan yang bebas daripada risiko vape dan ketagihan nikotin.
Selamat Hari Kanak-Kanak Sedunia!
PENULIS DR. SITI IDAYU HASAN, PROF. MADYA DR. FARIZAH MOHD HAIRI, pensyarah di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM) dan boleh dihubungi menerusi [email protected] dan [email protected].
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan atau pendirian rasmi RTM.
Sumber: Berita RTM