TEG horizontal logo 2

Penggunaan rokok elektronik meningkat 600 peratus – GATS

PUTRAJAYA – Kajian Global Adults Tobacco Survey (GATS) yang dijalankan buat kali kedua sejak 2011 mendapati penggunaan rokok elektronik meningkat sebanyak 600 peratus.

Menurut kajian itu, terdapat peningkatan prevalens yang ketara dalam penggunaan rokok elektronik tersebut.

“Sebanyak 5.8 peratus adalah pengguna rokok elektronik semasa pada tahun 2023 berbanding hanya 0.8 peratus pada tahun 2011,” kata kajian berkenaan.

Dalam kajian itu, seramai 3.9 peratus orang dewasa di negara ini merupakan dwi pengguna tembakau dan rokok elektronik.

Ia turut menunjukkan peningkatan hampir 400 peratus berbanding tahun 2011.

Kajian sama turut mendedahkan seramai 4.8 juta iaitu kira-kira 19 peratus orang dewasa di negara ini adalah perokok tembakau yang mana 3.7 juta daripadanya merokok setiap hari.

Penemuan utama itu turut mengklasifikasikan bahawa secara keseluruhan prevalens merokok menunjukkan penurunan kecuali dalam kalangan wanita.

“Prevalens kebangsaan merokok semasa ialah 19 peratus iaitu penurunan dari 23.3 peratus pada tahun 2011.

“Walaubagaimanapun angka ini di bawah sasaran 15 peratus atau kurang menjelang tahun 2025,” kata GATS.

Dalam kajian mengenai penyakit tidak berjangkit pula, GATS mendapati lebih daripada setengah juta rakyat di negara ini menghadapi empat penyakit tidak berjangkit.

Malah 2.3 juta orang dewasa di negara ini menghidapi tiga penyakit tidak berjangkit.

“Hampir 3.6 juta (15.6 %) menghidapi kencing manis, 6.7 juta (29.2 %) mempunyai tekanan darah tinggi dan kira-kira 7.5 juta (33.3%) mempunyai kolesterol tinggi,” kata kajian tersebut.

GATS dalam pada itu turut mendedahkan satu juta rakyat Malaysia berumur lebih daripada 15 tahun mengalami kemurungan.

Pendedahan itu melibatkan 4.6 peratus penduduk dewasa di negara ini.

“Prevalens ini meningkat dua kali ganda berbanding tahun 2019 (2.3%) dan didapati lebih tinggi dalam kalangan kumpulan umur yang lebih muda, khususnya mereka yang berumur 16 sehingga 29 tahun.

“Prevalens kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak telah meningkat daripada 7.9% (2019) kepada 16.5% dimana ia melibatkan 1 hingga 6 kanak-kanak berumur 5 hingga 15 tahun,” katanya lagi. 

SUMBER: MALAYSIA GAZETTE

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss