TEG horizontal logo 2

Peningkatan 600 peratus penggunaan rokok elektronik

Terdapat peningkatan ketara iaitu sebanyak 600 peratus terhadap penggunaan rokok elektronik di negara ini dengan 5.8 peratus pengguna dikenal pasti pada 2023 berbanding 0.8 peratus pada 2011.

PUTRAJAYA: Terdapat peningkatan ketara iaitu sebanyak 600 peratus terhadap penggunaan rokok elektronik di negara ini dengan 5.8 peratus pengguna dikenal pasti pada 2023 berbanding 0.8 peratus pada 2011.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata data itu didedahkan dalam Global Adult Tobacco Survey (GATS) iaitu tinjauan isi rumah peringkat kebangsaan yang juga dilakukan di lebih 30 negara berpendapatan rendah dan sederhana yang dibebani penggunaan tinggi tembakau.

Perbandingan data itu dibuat antara 2011 dan 2023 dengan selang masa 12 tahun.

“Selain itu, seramai 4.8 juta orang atau 19 peratus penduduk dewasa negara ini adalah perokok tembakau dengan 3.7 juta atau 14.6 peratus golongan dewasa itu merokok setiap hari.

“Bagi pengguna dwiguna iaitu tembakau dan rokok elektronik didapati sebanyak 3.9 peratus golongan dewasa negara ini menggunakannya dengan ia menunjukkan peningkatan 400 peratus berbanding tempoh sama, pengguna dwi-guna hanya 0.8 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mendedahkan penemuan utama Hasil Penyelidikan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) serta GATS di Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Dzulkefly berkata, penggunaan rokok elektronik itu juga menunjukkan lonjakan membimbangkan dengan pertambahan bilangan perokok itu daripada kalangan usia lebih ramai iaitu 8.6 peratus prevalens bagi usia 15 hingga 24 tahun.

“Bagi usia 25 hingga 44 tahun pula sebanyak 7.1 peratus bilangan pengguna rokok elektronik; diikuti usia 45 hingga 64 tahun (2.8 peratus) dan usia 65 tahun ke atas sebanyak 0.7 peratus.

“Faktor yang menyumbang kepada mereka terjebak dengan rokok elektronik ialah peranti itu tersedia dalam perisa digemari, persepsi rokok elektronik kurang memudaratkan berbanding tembakau dan ia mudah didapati,” katanya.

Dalam pada itu, hasil penyelidikan itu mendapati hanya sembilan peratus perokok dewasa merancang berhenti menggunakan tembakau dalam masa sebulan, diikuti 13 peratus merancang berhenti merokok dalam masa setahun; 37 peratus lagi berhasrat berhenti merokok selain 41 peratus golongan itu tiada perancangan berbuat demikian.

Selain itu, perokok didapati membelanjakan RM178 sebulan untuk membeli rokok yang dikilangkan.

Seramai 1.8 juta atau 21 peratus golongan dewasa yang bekerja dalam bangunan terdedah dengan asap tembakau di tempat kerja.

Secara keseluruhan, seramai 4.8 juta atau 19.4 peratus golongan dewasa terdedah dengan asap tembakau ketika berada di rumah, manakala 77.6 peratus terdedah apabila berada di restoran, 29.2 peratus di bangunan kerajaan, 19 peratus dalam pengangkutan awam dan 18.6 peratus di fasiliti kesihatan.

Bagi pengetahuan golongan dewasa terhadap bahaya merokok ialah 86.6 peratus daripada mereka percaya tabiat itu menyebabkan penyakit serius dan 85.9 peratus lagi percaya menghidu asap sekunder daripada perokok lain menyebabkan penyakit serius kepada mereka yang tidak merokok.

Sumber: Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss