TEG horizontal logo 2

Perhebat usaha halang vape dijual kepada golongan bawah umur- SUHAKAM

KUALA LUMPUR- Pesuruhjaya Kanak-Kanak-Kanak di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengesyorkan kerajaan melakukan pemantauan ketat terhadap penjual rokok elektronik kepada kanak-kanak dan golongan bawah umur di media sosial.

Katanya, sebarang usaha untuk menghalang bekalan e-rokok kepada golongan berkenaan perlu diperhebat kerana pada kebiasaannya produk terbabit dipasarkan dalam bungkusan serta perisa yang menarik.

Sehubungan itu, ia menggesa penguatkuasaan Seksyen 13 Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) diperketatkan bagi menghalang penjualan produk berkaitan tembakau dan nikotin kepada kanak-kanak.

Selain itu katanya, Seksyen 17 dalam Akta 852 turut mejadikan perbuatan menghisap atau menggunakan sebarang produk berasaskan tembakau atau produk pengganti tembakau dalam kalangan individu berusia di bawah 18 tahun sebagai satu kesalahan.

Menurut Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam, kejayaan langkah pencegahan itu berkait rapat dengan ketulusan dan kesungguhan dalam penguatkuasaan Akta berkenaan.

“Orang awam juga diberikan amaran mengenai naratif yang mempromosikan rokok elektronik atau vape sebagai pengganti tembakau yang ‘lebih sihat serta kurang berisiko’ untuk perokok menghentikan tabiat merokok.

“Perang menentang tembakau ini tidak seharusnya disertai dengan sogokan nikotin atau bahan kimia yang mengakibatkan ketagihan kepada pengguna baharu terutamanya sekali kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah SUHAKAM, ibu bapa dan penjaga yang mendapati anak-anak mereka menghisap rokok elektronik haruslah segera mendapatkan bantuan.

Fasiliti kesihatan Kerajaan dan organisasi profesional yang berkaitan menawarkan perkhidmatan berhenti merokok yang terdiri daripada rawatan serta kaunseling.

Katanya, SUHAKAM kesal dengan berita mengenai seorang pelajar sekolah menengah yang kritikal selepas menghisap rokok elektronik dengan cecair atau gel magic mushroom secara berlebihan.

Susulan itu, SUHAKAM menggesa ibu bapa dan penjaga supaya peka terhadap risiko yang dikaitkan dengan produk rokok elektronik. –MalaysiaGazette

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss