TEG horizontal logo 2

Perokok masih punyai 1001 lagi kawasan tidak dilarang merokok – IKRAM Health

Penyediaan kawasan merokok atau Designated Outdoor Smoking Area (DOSA) akan membebankan kewangan negara kerana kerajaan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terpaksa menampung kos pembinaan dan penyelenggaraannya.

  • Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) berkata berbanding negara maju lain di mana keseluruhan tempat awam dijadikan tempat dilarang merokok, Malaysia setakat ini menetapkan 23 tempat sahaja sebagai zon larangan merokok.
  • Penyediaan kawasan merokok atau Designated Outdoor Smoking Area (DOSA) akan membebankan kewangan negara kerana kerajaan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terpaksa menampung kos pembinaan dan penyelenggaraannya.
  • Perkara itu juga boleh menggagalkan usaha untuk denormalisasi amalan merokok dalam kalangan masyarakat terutama kelompok belum dewasa.
  • Semalam, dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan kesediaan untuk mempertimbang pandangan pelbagai pihak berhubung cadangan menyediakan kawasan khas merokok, terutama bagi premis makanan di kawasan sempit. 
  • “Kesihatan awam serta kebersihan persekitaran udara yang segar tanpa asap rokok serta wap vape mestilah menjadi prioriti Kerajaan MADANI hari ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

KUALA LUMPUR — Penyediaan kawasan merokok atau Designated Outdoor Smoking Area (DOSA) akan membebankan kewangan negara kerana kerajaan melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terpaksa menampung kos pembinaan dan penyelenggaraannya.

Malah, perkara itu boleh menggagalkan usaha untuk denormalisasi amalan merokok dalam kalangan masyarakat terutama kelompok belum dewasa.

Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) berkata berbanding negara maju lain di mana keseluruhan tempat awam dijadikan tempat dilarang merokok, Malaysia setakat ini menetapkan 23 tempat sahaja sebagai zon larangan merokok.

Katanya, perkara itu juga menyaksikan perokok masih mempunyai 1001 lagi kawasan yang tidak dilarang untuk merokok.

“Bagi sesebuah kawasan sangat sesak di mana jarak 3 meter daripada premis makan itu, termasuk premis makan lain atau kawasan larangan lain, kami mencadangkan keseluruhan kawasan tersebut dijadikan zon larangan merokok yang besar, contohnya di seluruh Bukit Bintang. 

“Penyediaan DOSA pula boleh diletakkan di beberapa sudut sempadan zon larangan tersebut.

“Langkah ini akan lebih memudahkan penguatkuasaan dijalankan kerana seluruh kawasan telah diwartakan sebagai zon larangan merokok melainkan di DOSA sahaja. 

“Oleh itu, bagi sesiapa yang merokok atau vaping di luar DOSA, penguatkuasa boleh terus mengenakan kompaun atau denda,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Semalam, dilaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan kesediaan untuk mempertimbang pandangan pelbagai pihak berhubung cadangan menyediakan kawasan khas merokok, terutama bagi premis makanan di kawasan sempit. 

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia bagi memastikan penyelesaian terbaik dan menyeluruh dapat diwujudkan, sebelum sebarang keputusan mengenainya dimuktamadkan. 

Memperincikan rasional cadangan mewujudkan kawasan khas merokok, Dr Dzulkefly berkata ia bertujuan memastikan aktiviti penguatkuasaan bagi larangan merokok di premis makanan dapat dibuat secara berkesan dan menyeluruh.

Mengulas lanjut, IKRAM Health menyatakan keyakinan KKM akan lebih mengutamakan kelompok majoriti bukan perokok yang kini sentiasa terdedah kepada bahaya asap rokok sebagai perokok pasif di mana-mana. 

“Kesihatan awam serta kebersihan persekitaran udara yang segar tanpa asap rokok serta wap vape mestilah menjadi prioriti Kerajaan MADANI hari ini,” katanya. — The Merdeka Times

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss