Oleh Prof Madya Dr Norashidah Mohamed Nor
Langkah berani dan perlu disokong. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mengumumkan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok dalam masa terdekat.
Seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Rang Undang-Undang ini akan disertakan dengan pelaksanaan Generasi Penamat atau Generation End-Game (GEG).
Pelaksanaan GEG melarang sebarang bentuk penjualan, pembelian dan pemilikan produk tembakau dan produk pengganti tembakau termasuk rokok elektronik dan vape bagi mereka yang lahir pada 1 Januari 2005 dan seterusnya.
Perkara itu satu langkah yang patut dipuji dan disokong kerana masalah merokok akan menyebabkan pelbagai komplikasi penyakit yang seterusnya akan menyebabkan peningkatan kepada kos rawatan.
Justeru, saya menyeru semua Ahli Parlimen dapat menyokong usaha Kementerian Kesihatan sehingga RUU ini diluluskan di Parlimen nanti.
Hakikatnya, pencegahan penyakit tidak berjangkit harus diutamakan dalam memastikan beban kos rawatan yang ditanggung oleh kerajaan dapat dikurangkan.
Oleh itu, kawalan ketat terhadap semua produk merokok termasuk rokok elektronik digabungkan dengan pelaksanaan GEG akan memberikan impak yang positif dalam mengurangkan peratusan penyakit tidak berjangkit dan seterusnya mengurangkan beban kos rawatan.
Khusus bagi pelaksanaan GEG, semua bentuk produk tembakau adalah berbahaya dan tiada tahap pendedahan selamat kepada tembakau.
Sekiranya gabungan kawalan produk merokok dengan pelaksanaan GEG di bawah RUU ini ditolak, kerajaan bakal menanggung kos yang tinggi bagi rawatan penyakit akibat komplikasi merokok serta komplikasi penyakit akibat penggunaan rokok elektronik
Di Malaysia, kos untuk merawat tiga penyakit utama yang berkaitan (kanser paru-paru, serangan jantung, chronic obstructive pulmonary disease) dengan merokok adalah RM2.92 bilion pada tahun 2004 dan dijangka meningkat kepada RM6.21 billion pada tahun 2020 dan kepada RM8.77 bilion pada tahun 2030.
Berbanding dengan hasil cukai yang dikumpul daripada tembakau hanya RM2.97 bilion pada tahun 2020, kerajaan adalah dalam keadaan kerugian. Dalam kes sedemikian, RUU ini pasti memberikan impak yang besar dalam usaha untuk mengurang penyakit tidak berjangkit dan meringankan beban sistem penjagaan kesihatan.
Selain itu, kerajaan bakal berdepan kerugian berganda berikutan kemunculan penyakit baru yang dikenali sebagai EVALI (Electronic Vape Associated Lung Injury). Dengan anggaran, kos rawatan penyakit EVALI membabitkan purata kemasukan ke wad selama 12 hari iaitu sebanyak RM150,892.11, kos berganda ini sudah tentu akan membebankan kerajaan.
Oleh itu, usaha pihak Kementerian Kesihatan wajar disokong dan RUU ini wajar diluluskan di Parlimen. Justeru, saya sekali lagi menyeru semua Ahli Parlimen menjalankan tanggungjawab anda. Malah, bukti sudah menunjukkan RUU ini lebih mendatangkan kebaikan daripada keburukan.
Penulis Timbalan Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM)
SUMBER : Harian Metro