PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau lebih dikenali sebagai RUU Generasi Penamat (GEG) ‘wajib’ dilulus dan dilaksanakan kerana ia sangat penting untuk kesejahteraan rakyat pada masa akan datang.
Ini kerana aktiviti merokok atau menggunakan sebarang produk berkaitan rokok elektronik (vape) sudah menjadi barah dalam kalangan generasi baharu sepertimana didedahkan Utusan Malaysia baru-baru ini iaitu terdapat 43,000 pelajar sekolah dikesan menghisap rokok hasil saringan terhadap 1.3 juta pelajar sekolah menengah tahun lalu.
Jumlah itu turut meliputi 341 murid sekolah rendah yang dikenal pasti sudah mula menggunakan produk rokok daripada sejumlah dua juta murid menjalani saringan yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan di sekolah-sekolah terpilih seluruh negara.
Ia menunjukkan aktiviti yang pada awalnya dianggap menjadi budaya sudah menjadi ‘pandemik’ dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) dan felo Akademi Sains serta Akademi Perubatan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman berkata, kerajaan tidak mempunyai masa lagi untuk menangguhkan pelaksanaan RUU GEG.
Menurut beliau, tidak relevan lagi produk-produk tersebut diletakkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang berada di bawah Akta Makanan 1983 dan sepatutnya mempunyai Akta khas sepertimana RUU GEG.
“Beban kesihatan yang dikaitkan dengan merokok cukup besar, kutiplah cukai sebanyak mana masih tidak dapat menangani kesan-kesan daripada tabiat tersebut. RUU GEG diperlukan kerana pada masa akan datang nanti ia akan memberi mereka peluang untuk hidup tanpa isu-isu dihadapi sekarang.
“Kita mahu budaya melihat orang merokok ini menjadi satu benda yang tidak elok dan diteruskan. Perokok di dalam negara kita tidak sampai 25 peratus menandakan selebihnya tidak merokok dan majoriti membenci tabiat tersebut.
“Jika kita fikir tentang generasi akan datang, RUU GEG ini wajib diluluskan. Pada pandangan saya, tidak ada alasan yang munasabah untuk tidak melaksanakannya,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, RUU GEG dijadualkan dibaca buat kali pertama pada 12 Jun ini, dalam sidang Dewan Rakyat.
Ia adalah langkah kerajaan untuk mewujudkan Dasar GEG bagi golongan yang lahir pada 1 Januari 2007 dan selepasnya bakal terlaksana melalui RUU tersebut demi kesihatan awam.
Dasar GEG di bawah RUU itu akan mengenakan larangan membeli dan menggunakan rokok atau vape bagi individu yang lahir bermula tahun 2007 dan seterusnya.
Pembentangan RUU itu sekali gus menggantikan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang tidak sempat direalisasi menteri terdahulu, selepas Parlimen penggal ke-14 dibubar tahun lalu.
Beliau yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Awam) turut menafikan bahawa RUU GEG akan merampas hak asasi manusia sekiranya dilaksanakan dan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai isu remeh yang sengaja dibangkitkan.
“Jika begitu, apakah seseorang itu mempunyai hak untuk membunuh diri? Adakah kita bagi hak itu? Jika perbuatan seseorang membahayakan diri seseorang itu menyebabkan pelbagai penyakit kronik bukankah itu salah satu bentuk bunuh diri?
“Sepertimana syarat memakai topi keledar semasa menunggang motosikal, jika penunggang memilih tidak mahu pakai itu haknya tetapi kenapa kita paksa dia pakai? Ini merupakan satu benda remeh-temeh yang sengaja dibangkitkan,” katanya.
Beliau berkata, kesan RUU GEG bukan dapat dilihat dalam masa singkat sepertimana dakwaan bahawa banyak premis atau pekerja akan lingkup sebaik sahaja ia dilaksanakan, sebaliknya memakan masa puluhan tahun.
“Jadi adakah tempoh tersebut tidak boleh dijadikan ruang untuk mencari peluang perniagaan atau pekerjaan yang lain?” soalnya.
Dr. Lokman Hakim berkata, RUU GEG perlu meliputi semua bentuk kegunaan rokok dan bahan-bahan seumpamanya termasuk mempunyai elemen yang memerlukan perlesenan kepada produk-produk tersebut.
“Perlesenan itu bagi membolehkan kita tahu siapa dan berapa ramai yang menjual produk-produk berkaitan. Dengan itu, pada masa sama kita dapat membantu memahami isu-isu penyeludupan yang berlaku.
“RUU GEG perlu wujud untuk menggantikan undang-undang sedia ada, sebab ia sudah tidak relevan lagi diletakkan di dalam Akta Makanan 1983. Ia perlu wujud di bawah aktanya tersendiri supaya kita dapat memastikan elemen-elemen kawalan ada.
“RUU GEG juga perlu mempunyai elemen kandungan nikotin di dalam cecair-cecair vape sebab nikotin merupakan punca yang menyebabkan ketagihan. Di situ, timbulnya segala permasalahan dalam isu merokok,” jelasnya.
Beliau berharap RUU GEG dapat dilulus dan dilaksanakan secepat mungkin memandangkan idea tersebut sudah tercetus sejak tahun 2016 iaitu semasa beliau bertugas dan vape menjadi fenomena baharu.
Sumber: UTUSAN