TEG horizontal logo 2

RUU kawalan rokok, vape dibentang awal Jun

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, Jemaah Menteri bersetuju KKM membawa RUU itu untuk bacaan kali pertama.

MELAKA: Kementerian Kesihatan (KKM) berharap Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang akan mengawal selia semua produk merokok, termasuk bahan merokok mengandungi nikotin yang digunakan untuk tujuan merokok, dibentangkan pada sidang Parlimen awal bulan depan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, RUU itu sangat penting bagi melindungi kesihatan generasi muda dan ia merangkumi dua perkara utama, iaitu kawalan terhadap produk merokok, termasuk rokok elektronik atau vape, serta pelaksanaan peruntukan Generasi Penamat Rokok.

“RUU berkenaan tidak sempat dibentangkan di Parlimen sebelum ini kerana berlaku pembubaran kerajaan, namun KKM akan memastikan komitmen membawa RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bagi bacaan kali pertama akan dibentangkan dalam persidangan yang akan diadakan selepas cuti Hari Kaamatan dan Gawai.

“Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa juga membawa kertas RUU itu ke Jemaah Menteri minggu lepas dan saya dimaklumkan Jemaah Menteri bersetuju KKM membawa RUU berkenaan untuk bacaan kali pertama.”

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2023 Peringkat Kebangsaan yang turut dihadiri Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem dan Pengarah Kesihatan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Rusdi Abd Rahman.

Lukanisman berkata, pelaksanaan RUU itu perlu disegerakan kerana berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), pengguna rokok elektronik dalam kalangan remaja mencatatkan peningkatan sebanyak 14.9% kepada 307,109 orang tahun lepas berbanding 9.8% atau 211,084 orang pada 2017.

Berdasarkan statistik tahun lepas, seramai 242,849 pengguna adalah remaja lelaki, manakala 64,260 lagi remaja perempuan.

“Peningkatan jumlah pengguna rokok elektronik dalam kalangan remaja amat membimbangkan, justeru bagi mengatasi isu dan masalah penggunaan produk merokok, terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, kawalan undang-undang perlu diperkukuh melalui RUU berkenaan.

“Ini kerana remaja dan kanak-kanak pada masa ini sangat terdedah kepada lambakan dan tarikan pelbagai jenis produk merokok dan menerusi RUU berkenaan diharap dapat mencegah generasi muda memulakan tabiat merokok.”

Sumber: Free Malaysia Today

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss