TEG horizontal logo 2

RUU kawalan tembakau bantu usaha jayakan Generasi Penamat

Penggunaan vape yang mengandungi ribuan bahan kimia berbahaya kepada tubuh manusia dan berisiko tinggi menyebabkan kanser. – Foto hiasan

RANG Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat sedikit masa lagi ibarat ‘nafas baharu’ kepada Keluarga Malaysia bagi membendung gejala merokok dalam masyarakat ketika ini.

Walaupun ramai kecewa atas keputusan kerajaan tidak membuat larangan penuh penggunaan dan penjualan rokok elektronik (vape) seperti Thailand, Brunei Darussalam dan Singapura, namun cadangan melarang generasi lahir selepas 2005 membeli atau memiliki produk rokok termasuk vape perlu disokong Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Pelaksanaan pelan ‘Generasi Penamat’, iaitu generasi berusia 18 tahun pada tahun depan bebas rokok yang diuar-uarkan ini diharap dapat menurunkan peratusan merokok sehingga kurang daripada 5.0 peratus seperti disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Melalui tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) oleh Kementerian Kesihatan (KKM), peratusan perokok pada 2006 adalah 22.8 peratus dan meningkat kepada 23.1 peratus pada 2011. Trend penurunan yang sangat sedikit dilihat daripada 2015, iaitu 22.8 peratus turun kepada 21.3 peratus pada 2019.

Pengguna rokok elektronik meningkat

Pada tempoh sama, masalah menghisap rokok elektronik dilihat semakin membimbangkan yang mana pada 2016 pengguna dewasa sebanyak 3.2 peratus, tetapi meningkat kepada 4.9 peratus pada 2019.

Jika dikira berdasarkan jumlah penduduk, pengguna rokok elektronik meningkat daripada 600,000 orang kepada 1.2 juta di Malaysia. Ia satu angka peningkatan yang besar dan membimbangkan.

Umum perlu mengetahui kesan penggunaan rokok elektronik berbanding penggunaan rokok tembakau, yang mana ia akan menyebabkan penghisapnya menghidap penyakit ‘EVALI’.

EVALI atau e-cigarette or vaping use-associated lung injury adalah penyakit baharu yang muncul sejak tiga tahun lalu akibat penggunaan rokok elektronik.

Kandungan terdapat di dalam cecair vape dibuktikan mengandungi ribuan bahan kimia berbahaya kepada tubuh manusia dan lebih menakutkan, ada di antaranya mempunyai risiko tinggi untuk menyebabkan kanser.

EVALI yang meletus sebelum pandemik COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) dalam kalangan belia menyebabkan lebih 2,000 orang dimasukkan ke wad dan mengorbankan 68 orang. Letusan penyakit ini mengejutkan dunia kerana ramai menyangka produk ini selamat digunakan.

Di Malaysia kes EVALI memberi kesan kerosakan kepada paru-paru, memberikan impak berpanjangan kepada pesakit. Dipercayai banyak lagi kes dikaitkan dengan EVALI tidak dilaporkan di Malaysia.

Justeru, usaha KKM untuk memastikan pelaksanaan Generasi Penamat ini perlu disokong sepenuhnya terutama Ahli Parlimen apabila RUU ini dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen nanti.

Jangan kita ulangi kesilapan silam sehingga mendedahkan bahaya rokok kepada generasi akan datang. Sekarang adalah masa untuk kita bersama menghentikan perbuatan sia-sia ini.

Penulis adalah Yang Dipertua IKRAM Health Malaysia


Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss