TEG horizontal logo 2

Santai merokok di kedai makan, lebih 1,000 dikompaun

MELAKA – Lebih 1,000 perokok di negeri ini dikompaun RM320,500 oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) selepas dicekup merokok di kedai makan, sehingga 9 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, secara keseluruhan sebanyak 1,368 kompaun bernilai RM326,000 telah dikeluarkan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Katanya, sebanyak 1,304 kompaun bagaimanapun dikenakan kepada lebih 1,000 perokok tegar di negeri ini yang melakukan pelbagai kesalahan terutama menghisap rokok di dalam premis kedai makan atau restoran.

“Sehingga 9 Julai lalu sebanyak 1,386 notis dikeluarkan di bawah PPKHT 2004 melibatkan pelbagai sembilan kesalahan.

“Kesalahan tertinggi adalah merokok di kawasan larangan sebanyak 683 notis dan diikuti merokok di kawasan Melaka Bebas Asap Rokok (MBAR) 491 notis,”katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan Operasi Mega Penguatkuasaan Kawalan Hasil Tembakau di Ayer Keroh di sini, semalam.

Mengulas lanjut beliau berkata, dalam penguatkuasaan JKNM itu, turut dikesan adalah tindakan segelintir peruncit yang menjual rokok kepada pelajar sekolah dan remaja di bawah umur 18 tahun.

“JKNM turut mengeluarkan 130 notis terhadap remaja yang dikesan merokok atau memiliki hasil tembakau. Kesalahan-kesalahan lain adalah gagal mempamer tanda larangan merokok di premis sebanyak 28 kes,” katanya.

Muhamad Akmal berkata, dalam operasi Operasi Mega Penguatkuasaan Kawalan Hasil Tembakau itu, JKN turut mengeluarkan 104 notis kesalahan melibatkan kompaun berjumlah RM29,750 terhadap pelbagai kesalahan.

Sumber: KOSMO

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss