Kuala Lumpur: Sepanjang minggu ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diasak oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar kesihatan yang mahu kerajaan menarik balik pengecualian cecair vape bernikotin daripada senarai bahan terkawal Akta Racun 1952 buat sementara waktu, demi melindungi kesihatan awam dan masa depan masyarakat, khususnya kanak-kanak.
Desakan lantang itu berikutan mereka kecewa dengan perkembangan terkini rang undang-undang (RUU) bagi mengawal selia semua produk untuk merokok, termasuk bahan yang mengandungi nikotin, yang sebelum ini diharapkan mereka dikuatkuasakan secepat mungkin.
Namun persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama 11 hari hingga kelmarin, menyaksikan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, yang sebelum ini dikenali RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, masih tidak boleh diluluskan.
Sebaliknya, RUU itu perlu dirujuk sekali lagi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa yang membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin lalu (12 Jun), dipetik berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas masyarakat, khususnya melalui sesi libat urus pada 6 Mac lalu.
Beberapa pakar dan NGO kesihatan yang ditemui menyifatkan keputusan itu perlu disusuli langkah yang dapat melindungi kesihatan masyarakat khususnya kanak-kanak, pada kadar segera kerana ketika ini langsung tidak ada akta yang dapat mengawal ancaman rokok elektronik.
Selain itu, ada juga yang menuntut supaya persidangan Dewan Rakyat dilanjutkan beberapa hari lagi supaya RUU itu dapat dibahaskan dan terus diluluskan tanpa bertangguh lagi.
“Vape belum ada undang-undang jelas di negara ini, sebab itu kami (pakar dan NGO kesihatan) begitu mengharapkan RUU itu diluluskan. Masyarakat juga, berdasarkan satu tinjauan yang dilakukan KKM sebelum ini, turut mengharapkannya, namun masih tidak menjadi kenyataan.
“Oleh sebab itu, lebih baik keputusan mengecualikan cecair vape nikotin daripada Akta Racun ditangguhkan pelaksanaannya pada kadar segera, sehingga undang-undang itu dapat dikuatkuasakan, bagi mengelakkan risiko negara melahirkan generasi penagih nikotin,” kata pakar perubatan keluarga Dr Suhazeli Abdullah.
Terkenal dengan kelantangan bersuara tentang vape menerusi akaun media sosial beliau, Dr Suhazeli berkata, langkah itu harus dilaksanakan segera kerana sesi persidangan Parlimen seterusnya yang memungkinkan RUU itu dibahaskan dan diluluskan ialah pada Oktober ini.
Bermakna, selama empat bulan akan datang, rakyat akan terus terdedah kepada bahaya rokok elektronik yang dilaporkan adalah punca pelbagai masalah kesihatan.
KKM sebelum ini dilaporkan menerima sebanyak 17 kes berkaitan rokok elektronik (Evali) pada setakat awal Jun tahun ini.
Situasi di luar negara seperti Amerika Syarikat misalnya, adalah lebih serius dengan kira-kira 2,800 kes Evali direkodkan termasuk 68 kematian.
Sementara itu, Pusat Racun Negara merekodkan sebanyak 77 kes pendedahan kepada nikotin (keracunan nikotin) daripada rokok elektronik bagi tempoh 2015 hingga 2022, dan untuk tahun ini, setakat artikel ini ditulis, sebanyak tujuh kes direkodkan dengan lima kes membabitkan kanak-kanak.
Pusat itu juga sebelum ini melaporkan ia menerima kes membabitkan pesakit paling muda, iaitu berusia tiga bulan yang terminum cecair vape.
Malah, pusat itu juga mengesan banyak kes membabitkan kanak-kanak berusia seawal setahun cuba menghisap vap generasi terbaharu dalam bentuk pod yang mempunyai nikotin berkepekatan tinggi.
Mengulas perkara itu, Dr Suhazeli berkata biarpun usia peranti rokok elektronik ini masih baharu berbanding rokok konvensional, semakin banyak kajian tempatan dan luar negara membuktikan penggunaan vape membawa kemudaratan kepada kesihatan masyarakat.
“Baru-baru ini, seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun dilaporkan maut, disyaki akibat Evali dan hasil siasatan juga mendapati remaja perempuan ini tidak mempunyai sejarah penyakit namun punya sejarah menghisap vap selama tiga tahun.
“Bayangkan hanya dalam tempoh hampir 10 tahun (sejak vape memasuki negara ini secara komersial pada 2015), sudah mencetuskan penyakit baharu, Evali, kerosakan pada paru-paru akibat vape. Ini merupakan satu situasi yang mencemaskan, dan kita tidak mahu situasi ini menjadi bertambah parah akibat ketiadaan kawalan,” katanya.
Biarpun kebanyakan kajian yang ada ketika ini lebih kepada impak jangka pendek memandangkan rokok elektronik hanya mula berada di pasaran global pada 2004 berbanding rokok konvensional, tidak mustahil kesannya akan lebih teruk pada masa akan datang.
Ulas beliau, satu kajian pada 2021 bertajuk Characterizing the Chemical Landscape in Commercial E-Cigarette Liquids and Aerosols by Liquid Chromatography-High-Resolution mendapati ada lebih 2,000 jenis bahan kimia berbahaya dalam bentuk wap rokok elektronik di pasaran, sekali gus merisikokan masyarakat kepada pelbagai masalah kesihatan.
Malah, Dr Suhazeli mengukuhkan pandangannya dengan merujuk laporan A Systematic Review of Health Effects of Electronics Cigarettes yang membuktikan penggunaan rokok alaf baharu ini berisiko tinggi menyebabkan kerosakan sel badan manusia dan pelbagai komplikasi penyakit berikutan tindak balas daripada campuran bahan kimia dalam cecair vap berkenaan.
Ini termasuklah ketagihan nikotin yang tinggi, kata beliau serta menambah beberapa kajian sebelum ini juga menunjukkan kebergantungan pada cecair itu adalah lebih tinggi berbanding bahan-bahan dan dadah terlarang yang lain seperti morfin dan heroin.
Berdasarkan penemuan itu, Dr Suhazeli dan beberapa pakar lain yang ditemui, menyangkal dakwaan pihak industri yang sering kali mempromosikan vape sebagai alternatif terbaik dan lebih selamat dalam membantu perokok menghentikan tabiat mereka.
Menurut pakar, rokok elektronik pada hakikatnya bukanlah kaedah terbaik untuk berhenti merokok kerana pengguna berpotensi menelan nikotin pada kadar lebih tinggi berbanding rokok, dan akhirnya bukan sahaja gagal keluar daripada ketagihan tetapi turut menjadi dwipengguna, iaitu menghisap rokok konvensional dan rokok elektronik.
Laporan Surgeon General, Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Amerika Syarikat pada 2020, menunjukkan penggunaan vape tidak berkesan dalam membantu perokok menghentikan tabiat mereka.
Dapatan serupa turut didedahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi laporan teknikalnya pada 2021.
Malah, tinjauan di beberapa negara maju yang menggunakan konsep “pengurangan kemudaratan tembakau” menggunakan rokok elektronik menunjukkan peningkatan bilangan perokok vape atau rokok konvensional atau kedua-duanya, terutama dalam kalangan remaja.
“Jumlah nikotin yang terdapat di dalam rokok adalah antara enam hingga 28 miligram (mg). Jumlah ini besar julatnya kerana bergantung pada jenis rokok dan kualiti tembakau.
“Itupun rokok ada penapis di pangkalnya dan perokok hanya dapat menyedut kandungan nikotin kurang daripada dua mg (1.1 – 1.8mg).
“Walaupun hanya dua mg yang disedut, tetap ada bahan berbahaya, dan nikotin itu sendiri menyebabkan ketagih.
“Bayangkan perokok tegar habiskan sekotak sehari, bermakna dia sudah sedut 22 hingga 36mg nikotin ke dalam tubuh.
“Sementara vape pula disedut secara terus tanpa tapisan dan kajian mendapati 15 sedutan vape mengandungi 15.4mg nikotin,” jelas beliau.
Menurut beliau lagi, semua nikotin itu akan masuk ke dalam paru-paru, meresap ke dalam darah dan terus ke otak, menyebabkan seseorang dapat merasai kesan nikotin seawal 10 saat pertama.
“Bayangkan jika menghisap vape ini puluhan kali sehari. Jika 10 kali, bermakna seseorang itu sudah menyedut 154mg nikotin, iaitu tujuh kali ganda berbanding rokok biasa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati mereka yang serius ingin berhenti merokok agar mendapatkan rawatan di Klinik Berhenti Merokok yang diwujudkan di klinik-klinik kesihatan berdekatan, kerana nikotin daripada ubat-ubatan berhenti merokok yang diluluskan oleh KKM melepasi ujian klinikal dan terbukti selamat serta berkesan membantu perokok berhenti merokok.
Sumber: Harian Metro