TEG horizontal logo 2

Segera luluskan RUU Kawalan Produk Merokok, GEG – KJ

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mendesak kerajaan supaya segera membentang dan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok dengan peruntukan Generasi Penamat Rokok (GEG) di Parlimen.

Gesaan tersebut dibuat berikutan kes seorang kanak-kanak perempuan mengalami gejala batuk, muntah dan sesak nafas di Bera, Pahang pada bulan lalu disyaki mengalami keracunan nikotin akut.

“Luluskan RUU Kawalan Produk Merokok dan GEG sekarang!” kata Khairy dalam satu hantaran di media sosial.

Beliau merupakan pengerak utama kempen menamatkan genarasi generasi perokok berusia 18 tahun ke bawah ketika menjadi Menteri Kesihatan.

Lewat malam tadi, Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan berkata, kanak-kanak berusia dua tahun itu tidak mempunyai sejarah penyakit kronik dipercayai tersedut atau tertelan cecair daripada peranti rokok elektronik (vape) jenis pakai buang.

Katanya, pada 30 Mei lalu, mangsa ditemui datuknya bersama vape pakai buang.

“Kanak-kanak ini seterusnya dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, Pahang kerana memerlukan bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak dan dilaporkan mengalami sawan sebanyak dua kali ketika dalam rawatan.

“Terkini, keadaan pesakit adalah stabil dan bernafas tanpa bantuan alat pernafasan dan dipantau oleh pihak hospital,” katanya.

Katanya, mangsa juga disahkan menghidapi Acute Life Threatening Event Secondary To Possible Alleged Nicotine Ingestion Complicated With Seizure.

April lalu, KKM menjadi sasaran kemarahan orang ramai selepas Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengesahkan KKM mengeluarkan produk cecair atau gel nikotin dalam Akta Racun 1952 sebelum melaksanakan cukai terhadap penggunaan rokok elektronik (e-rokok) dan vape.

Ia bagi melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml).

Media kemudiannya melaporkan, Dr Zaliha menyasarkan untuk membentangkan RUU baharu ini dengan segera pada sidang Dewan Rakyat pada Mei.

“KKM sudah menjalankan sesi libat urus berkenaan dasar yang ditetapkan di bawah RUU baharu ini termasuk peruntukan Generasi Penamat Rokok (Generational Endgame, GEG) kepada semua pihak berkepentingan seperti Ahli Parlimen, badan bukan kerajaan, badan profesional dan pihak lain yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun enam hari lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni dilaporkan berkata, RUU berkenaan akan dibentangkan awal bulan ini.

“Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa juga telah membawa kertas RUU berkenaan ke Kabinet pada minggu lepas dan saya dimaklumkan Kabinet telah bersetuju untuk KKM membawa RUU berkenaan untuk bacaan kali pertama,” kata Khairy.

Sumber: Malaysia Gazette

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss