TEG horizontal logo 2

SEGERAKAN UNDANG-UNDANG KAWAL VAPE, E-ROKOK ELAK KESAN LEBIH PARAH

Kes keracunan magic mushroom oleh seorang remaja di Kemaman, baru-baru ini, sebenarnya tidak mengejutkan kita kerana sehingga kini masih belum ada undang-undang berkesan mengawal penjualan dan akses vape serta e-rokok bukan sahaja kepada golongan itu, bahkan kanak-kanak di negara ini.

Selain kes itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 17 kes penyakit paru-paru, iaitu E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI) berpunca daripada rokok elektronik, termasuk vape sehingga Jun tahun lalu.

Pada masa sama, 69 kes keracunan vape dalam kalangan kanak-kanak dilaporkan dari 2015 hingga Ogos 2023. Antaranya pada 30 Mei tahun lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun mengalami keracunan nikotin akut selepas dipercayai tertelan cecair daripada peranti rokok elektronik (vape) jenis pakai buang dalam insiden di Bera, Pahang.

Kini terdapat pelbagai jenis peranti vape dan e-rokok dijual di pasaran, antaranya sistem pod, mod dan pen kebanyakannya dalam sistem terbuka yang membolehkan pengguna menukar isian cecair vape mengikut kesukaan mereka.

Penjualan kreatif tarik kanak-kanak, remaja

Penjualan vape juga semakin kreatif apabila menyasarkan kanak-kanak dan remaja dengan bentuk menarik serta berperisa, namun masih boleh terdedah kepada isian cecair bernikotin dan dadah seperti magic mushroom ini.

Realitinya, kita di negara ini sudah terlalu lama berada dalam kelompongan undang-undang bagi mengawal produk vape dan rokok elektronik di pasaran menyebabkan penggunaan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja semakin tidak terkawal.

Ini dibuktikan dengan dapatan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2022 yang menunjukkan peningkatan e-rokok atau vape sehingga 5 peratus, iaitu daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus (2022).

Peningkatan yang ketara ini turut berlaku dalam kalangan remaja perempuan, iaitu daripada 2.8 peratus pada 2017 kepada 6.2 peratus (2022).

Golongan remaja ini mendapatkan vape dan e-rokok dari kedai runcit serta kedai vape khusus merangkumi 35 peratus, manakala sumber daripada rakan pula hampir sama, iaitu 30 peratus.

Malah, lebih menakutkan apabila semakin banyak vape dijual di dalam talian tanpa kawalan, sekali gus menunjukkan betapa mudahnya akses vape dan e-rokok kepada golongan remaja.

Pendedahan terhadap vape dan e-rokok juga bermula lebih awal, iaitu sejak kanak-kanak apabila semakin ramai lelaki dewasa, termasuk ahli keluarga mereka yang menghisap vape dan e-rokok di hadapan kanak-kanak ini.

Berbanding penjualan rokok dikawal melalui Akta Makanan 1983 sehingga kini tiada akta atau Rang Undang-Undang (RUU) khusus mengawal penjualan vape di pasaran sedangkan ia sudah memasuki pasaran negara sejak 2012.

Lebih mengecewakan lagi apabila cecair nikotin dikeluarkan daripada senarai racun dalam Akta Racun pada 31 Mac tahun lalu bagi membuka ruang kepada percukaian vape bermula tarikh yang sama.

Pada masa sama, undang-undang kerajaan tempatan berkenaan penjualan vape juga berbeza mengikut negeri. Sehingga kini, hanya Johor mempunyai undang-undang tempatan melarang penjualan vape, namun di negeri lain pembukaan kedai vape adalah tidak terkawal dan tidak berlesen.

Usaha untuk meningkatkan kawalan ke atas penjualan rokok dan vape sudah dimulakan KKM semasa pembentangan RUU Generasi Penamat (GEG) yang dibuat bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin pada 2022.

Namun, RUU ini digugurkan setelah dinilai sebanyak dua kali oleh Jawatankuasa Khas Parlimen.

Akhirnya pada November tahun lalu, barulah RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dibentangkan bekas Menteri Kesihatan pada masa itu, Dr Zaliha Mustafa dan diluluskan di Dewan Rakyat.

Malangnya, peruntukan GEG, iaitu untuk melarang anak yang lahir selepas 2007 secara terus daripada merokok dan menghisap vape telah dikeluarkan.

Sehingga kini sudah hampir sembilan bulan RUU berkenaan sedang digubal dan masih belum dikuatkuasakan, sekali gus menyebabkan peniaga vape dan e-rokok mengambil kesempatan meningkatkan pengaruh dan penjualan ‘candu beracun’ ini kepada remaja.

Justeru, kerajaan hendaklah membuat penguatkuasaan undang-undang dengan segera sebelum keadaan menjadi lebih parah. Selain itu, sebuah kajian menyeluruh berkenaan penjualan vape kepada remaja dan kesannya kepada kesihatan hendaklah diadakan di sekolah seluruh negara.

Akhir sekali, kempen kesedaran bahaya vape dan rokok hendaklah dipertingkatkan dan disemarakkan di sekolah sebagai kaedah pencegahan awal daripada ketagihan, seterusnya penyakit disebabkan menghisap vape dan rokok.

Usaha bersepadu pelbagai agensi sangatlah diperlukan pada saat ini bagi menyelamatkan generasi masa depan negara daripada bahaya vape dan rokok.

Sumber: MKN

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss