TEG horizontal logo 2

Segerakan undang-undang selamatkan generasi penagih nikotin

KUALA LUMPUR: MELEPAK dengan kawan-kawan di sebuah taman permainan kira-kira tiga tahun lalu mendorong Ridzuan Ahmad, 18, (bukan nama sebenar) mencuba vap (vape), lebih kepada teruja dengan trend anak muda menghisap rokok elektronik itu.

Bermula dengan hanya satu sedutan untuk mengetahui bagaimana rasa cecair nikotin, dia tidak menyangka tindakan bersama sahabat karibnya itu kini membawa padah sehingga mereka ketagihan menghisap vap.

“Saya dan rakan karib tidak pernah hisap rokok tetapi entah mengapa teringin nak cuba vap selepas beberapa kali diajak rakan. Bila cuba, rasa ‘sedap’ kat tekak dan sejak hari itu, kalau tidak dapat hisap, memang emosi jadi tidak stabil, rasa nak marah dan bibir kering,” luahnya kepada Bernama dengan nada kesal.

Bagi melepaskan rasa gian terhadap nikotin, Ridzuan bersama rakan karibnya itu sanggup melakukan pelbagai cara, daripada menyimpan wang belanja sekolah hingga bekerja sambilan mencuci pinggan mangkuk selepas waktu sekolah semata-mata untuk membeli vap.

Dari hari ke hari, ketagihan nikotin dua rakan karib ini semakin melonjak. Daripada vap yang ‘800 puff’ (800 sedutan) dan boleh tahan seminggu, mereka kemudiannya boleh menghabiskannya dalam masa dua hari sahaja. Berikut, mereka beralih kepada ‘3,500 puff’ ( 3,500 sedutan) dan terkini ‘10,000 puff’ (10,000 sedutan) bagi mendapatkan kepuasan maksimum.

Selepas tiga bulan menjadi ‘hamba nikotin’, Ridzuan mula menyedari kelainan pada rakan karibnya apabila melihat wajah kawannya sentiasa pucat, mata merah selain asyik berkhayal dan tidak fokus dengan situasi sekeliling.

“Saya tidak sangka dia hisap vap ‘Magic Mushroom’ (Cendawan Ajaib) yang boleh menyebabkan halusinasi teruk. Rupanya, dia terpengaruh dengan ajakan seorang kawan dan saya cuba menegurnya tetapi dia tidak mahu dengar dan hubungan kami mula renggang walaupun saya dan dia kawan baik sejak kecil lagi.

“Ada ketikanya, saya mengharapkan dia ditangkap polis sebab tidak sanggup melihat keadaannya ketika ini yang tidak lagi seperti manusia, asyik berkhayal. Dia juga terus menghisap vap dadah itu sehinggalah sekarang,” kata Ridzuan nya yang kini sedang melanjutkan pelajaran di sebuah kolej kemahiran di Selangor.

VAP ‘PINTU’ PENINGKATAN BELIA TERJEBAK DADAH?

Isu penyalahgunaan pelbagai jenis dadah yang diasimilasi dalam budaya menghisap vap terutama dalam kalangan anak muda, hakikatnya, bukanlah polemik baharu, namun dilihat sejak kebelakangan ini oleh beberapa pakar dan badan bukan kerajaan (NGO) kesihatan sebagai situasi yang semakin membimbangkan.

Malah, Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia (MASAC) sebelum ini juga pernah melahirkan kegusaran mereka yang menjangkakan trend penglibatan belia dengan dadah dijangka meningkat tahun ini, antara faktornya penjualan peranti vap tidak berdaftar selain tiada kawalan sekali gus memudahkan belia mengambil dadah jenis perisa Magic Mushroom.

Dijual pada harga RM150 bagi botol bersaiz 10 mililiter (ml) berbanding cecair vap biasa yang dijual sekitar RM15, ‘magic mushroom, ‘shroom’ atau ‘booms’ ada antaranya dijual dengan berselindung di sebalik perisa yang popular dalam kalangan penghisap vap seperti buah-buahan, ‘creamy’.

Pengambilan dadah jenis ini yang menurut laman sesawang Pusat Racun Negara (PRN), mengandungi bahan aktif ‘psilocybin’, sejenis bahan aktif halusinogen yang sangat kuat dan akan menyebabkan mereka berhalusinasi, berasa seronok melampau serta tidak sedar sepenuhnya.

“Sebenarnya, bukan kawan karib saya saja yang hisap vap yang ada dadah tetapi ramai (sekitar kawasan perumahannya di satu kawasan di Selangor dan tempat sekolahnya sebelum ini). Ada yang tingkatan dua pun sudah ambil, perempuan pun ada dan biasanya mereka tidak hisap di sekolah sebab takut kena tangkap kerana akan berkhayal selepas hisap.

“Mereka sebenarnya bukan keluarga kaya tetapi sebab dah ketagih vap ganja, ada antaranya mencuri atau paksa emak ayah bagi duit. Keluarga pula tidak mahu melihat anak sakit atau hantar ke pusat rawatan, terpaksa beri duit selepas mereka bertukar ganas, memberontak,” katanya.

Ridzuan, anak sulung daripada lima beradik bersyukur kerana tidak terjebak dengan dadah, bagaimanapun, bimbang dengan nasib anak muda di kawasan perumahannya itu dan banyak kali menasihati kumpulan berkenaan, namun usahanya itu bagaikan ‘mencurah air ke daun keladi’.

Bukan sahaja tidak mahu dinasihati, malah ada yang sehingga sanggup mengugut Ridzuan dan keluarganya selain bertindak ganas ke atas dirinya supaya tidak ambil peduli hal mereka.

Begitu kecewa dengan keadaan demikian, Ridzuan menasihatkan anak muda jangan sesekali mencuba vap kerana berisiko ketagihan selain membuka pintu menjadi hamba dadah.

Melihat kesan dan bahaya vap berdasarkan pengalamannya itu, Ridzuan berpandangan amat penting untuk Malaysia mempunyai undang-undang untuk mengawal rokok elektronik kerana tanpa kawalan ini akan mengundang ‘bencana’ kepada negara kerana setiap hari bakal melahirkan generasi penagih nikotin selain risiko peningkatan belia terjebak dadah.

WAJARKAH KEPUTUSAN KECUALIKAN NIKOTIN DIBATALKAN?

Tidak boleh dipandang enteng memandangkan Laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 bertajuk ‘Tinjauan Kesihatan Remaja’ mendedahkan seramai 60,000 remaja di negara ini dikenal pasti terjebak dalam kegiatan penyalahgunaan dadah manakala kira-kira 106,000 lagi memiliki sejarah pengambilan barangan terlarang itu.

Laporan yang dikeluarkan Institut Kesihatan Awam (IKU) Kementerian Kesihatan (KKM) melibatkan pelajar berusia 13 hingga 17 tahun sebagai responden bagi mengenal pasti tingkah laku dan trend kesihatan remaja dengan tinjauan itu dilakukan antara 12 Jun hingga 8 Julai 2022.

“Ini membimbangkan kerana penjualan Magic Mushroom tidak sepatutnya berlaku bukan hanya kepada kanak-kanak bahkan orang dewasa. Kerajaan harus melakukan sesuatu,” kata Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid.

Selain Magic Mushroom, penyalahgunaan rokok elektronik juga turut digunakan untuk menghisap dadah jenis stimulan atau perangsang seperti methamphetamine dan amphetamine di samping heroin, codeine, percocet dan ritalin.

Bagi beberapa pakar dan NGO kesihatan yang ditemu ramah Bernama, rata-ratanya melahirkan kekecewaan dengan apa yang berlaku pada Isnin lepas (12 Jun 2023) apabila harapan tinggi mereka untuk melihat Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 diluluskan sebelum sidang Dewan Rakyat kali ini berakhir pada Khamis, bagaikan “tiada sinar di hujung terowong”. RUU ini yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat oleh Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa pada 12 Jun lepas dan turut merangkumi Dasar Generasi Penamat (GEG) akan dirujuk sekali lagi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan.

Ini bermakna RUU tersebut merupakan kali kedua dirujuk kepada JKPK berkenaan selepas pertama kali dibentangkan oleh Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin, pada tahun 2022.

Sebelum ini, RUU itu yang dikenali dengan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dibacakan pertama kali pada 27 Julai 2022 dan bacaan keduanya pada 2 Ogos 2022 dan dirujuk ke JKPK Parlimen untuk diteliti serta membuat syor penambahbaikan. Bagaimanapun, RUU ini tidak dapat diteruskan berikutan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU15).

Kerana itu, beberapa pakar dan NGO kesihatan mendesak KKM membatalkan keputusan mengecualikan nikotin daripada Akta Racun 1952 kerana keputusan itu sekali gus menghalalkan vap atau rokok elektronik yang mengandungi cecair nikotin untuk dijual secara terbuka dan sah kepada sesiapa sahaja termasuklah kanak-kanak.

Ini kerana, rokok elektronik, vap buat masa ini tidak dapat dikawal menerusi Akta Makanan 1983 kerana akta itu hanya meliputi penggunaan produk merokok berasaskan daun tembakau sedangkan vap dan rokok elektronik menggunakan cecair nikotin atau cecair bukan tembakau.

MUDAHNYA VAP DIJUAL!

“Apabila tidak ada undang-undang, penjual tidak salah untuk memasarkannya kepada kanak-kanak dan remaja, begitu juga sebaliknya, golongan ini bebas menghisap vap secara terbuka. Keadaan ini menakutkan kerana rokok elektronik senang didapati dan dijual bukan sahaja di kedai khusus vap tetapi juga di kedai runcit.

“Hasil tinjauan CAP (Persatuan Pengguna Pulau Pinang) di Pulau Pinang serta aduan ibu bapa di seluruh negara, mendapati vap dijual berdekatan kawasan sekolah dan harganya tidak sampai RM20 (untuk 800 sedutan) membolehkan mereka membelinya secara terbuka,” kata pegawai pendidikan dan aktivis antimerokok CAP, NV Subbarow.

Ketika ini, boleh dikatakan kedai yang khusus menjual rokok elektronik tumbuh bagaikan ‘cendawan selepas hujan’ dan itu tidak termasuk lagi yang dijual di media sosial mahupun platform e-dagang tertentu dengan pelbagai harga serendah RM13 dan tampil dengan bentuk, warna menarik yang mampu menambat perhatian golongan bawah umur.

Malah, tinjauan penulis di beberapa kedai vap sekitar Lembah Klang, mendapati rokok elektronik jenis ‘disposable’ atau pakai buang dan perisa mangga adalah antara popular dalam kalangan peminat vap termasuklah kanak-kanak, remaja kerana harganya yang murah, tidak perlu ‘refill’ dan juga bentuknya yang boleh mengaburi orang dewasa.

Paling membimbangkan, hasil pemerhatian penulis mendapati ada peniaga yang mempunyai ‘buku 1’ yang dirujuk pembeli setianya untuk membeli rokok elektronik secara berhutang selain ada dijual berdekatan dengan kawasan perumahan sekali gus memudahkan lagi golongan bawah umur untuk membelinya.

Penulis yang turut membeli beberapa model rokok elektronik dan mengajukan kepada mereka yang tidak pernah menggunakan vap, kebanyakan mereka menyangkakan peranti tersebut hanyalah produk sanitasi kuman selain ada yang menganggapnya permainan dan gula-gula, produk makanan!

Maka, tidak menghairankanlah apabila ada kanak-kanak yang menyangkakannya sebagai gula-gula dan menghisapnya sekali gus merisikokan mereka kepada bahaya.

Terbaharu, KKM memaklumkan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dikesan mengalami gejala batuk, muntah dan sesak nafas di Bera, Pahang pada bulan Mei lepas, disyaki mengalami keracunan nikotin akut dan dipercayai tersedut atau tertelan cecair daripada peranti rokok elektronik jenis pakai buang.

Berdasarkan rekod PRN, sebanyak 77 kes pendedahan kepada nikotin (keracunan nikotin) daripada rokok elektronik atau vap dilaporkan sejak tahun 2015 sehingga tahun 2022, dan untuk setakat tahun ini (2023) sahaja sebanyak tujuh kes dilaporkan yang mana lima membabitkan kanak-kanak.

PRN sebelum ini pernah mendedahkan mereka turut menerima kes membabitkan pesakit paling muda berusia tiga bulan yang didapati terminum cecair itu. Bagaimanapun, pusat tersebut tidak menafikan sejak kebelakangan ini pihaknya turut mengesan banyak panggilan membabitkan kes kanak-kanak seawal usia satu tahun cuba menghisap vap generasi terkini dalam bentuk pod yang mempunyai nikotin pada kepekatan tinggi.

LAKUKAN SESUATU

“Ada penjual kata mereka jual rokok elektronik ‘zero nicotine’ tetapi apabila dibawa ke ujian makmal, boleh dikatakan 97 peratus sampel yang kita hantar itu kebanyakannya memang mengandungi nikotin. Dan, bukannya nikotin sintetik tetapi memang nikotin betul.

“Malah, bila Pusat Racun Negara buat kajian, ada peranti yang mempunyai kadar nikotin sangat tinggi sehingga 80 miligram (mg) per liter dalam satu vap. Memang tinggi dan kanak-kanak tidak tahan dengan nikotin setinggi itu,” kata seorang pegawai KKM yang tidak mahu namanya didedahkan.

Dalam satu laporan media sebelum ini, Pusat Pengajian Perubatan dan Kaji Hayat, Universiti Sunway memaklumkan kebanyakan produk vap di negara ini mengandungi sehingga 22 mg nikotin bagi setiap perisa berbanding kekuatan maksimum yang dijual di United Kingdom dan Australia hanya sekitar dua peratus atau 20 mg nikotin bagi setiap ml cecair.

Kerana itu, Subbarow berkata kerajaan perlu melakukan sesuatu apatah lagi trend ketika ini ramai anak muda yang beralih kepada peranti elektronik berbanding rokok konvensional.

Berdasarkan NHMS 2022 menunjukkan peningkatan penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja berusia lingkungan 13 hingga 17 tahun, meningkat daripada 9.8 peratus pada tahun 2017 kepada 14.9 peratus pada tahun 2022.

“Kajian kami awal tahun sehingga Mei, mendapati seramai 3,000 daripada 5,000 pelajar seluruh negara termasuk kolej, IPT mengaku mengambil vap dan menakutkan, 75 peratus daripada mereka bukanlah perokok.

“Kerajaan perlu lakukan sesuatu. Jika tidak, kita setiap hari melahirkan generasi penagih nikotin sementara menunggu RUU tersebut diluluskan,” katanya.

Sumber: BERNAMA 

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss