TEG horizontal logo 2

Selepas 5 tahun, usaha 7 individu cabar larangan merokok di kedai makan berakhir

PUTRAJAYA: Usaha tujuh individu sejak lima tahun lalu untuk mencabar di mahkamah peraturan larangan merokok oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di semua kedai makan akhirnya menemui noktah hari ini.

Ia berikutan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan mereka untuk mendapat kebenaran merayu keputusan dibuat Mahkamah Rayuan tahun lalu, yang mengekalkan keputusan kerajaan melarang perbuatan merokok di semua kedai makan.

Keputusan hari ini diputuskan tiga hakim diketuai Hakim Datuk Zabariah Yusof selepas mengambil kira tujuh individu terbabit gagal melepasi ambang untuk mendapatkan kebenaran seperti dikehendaki di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Mereka ialah Hanizam Yunus, 55, Zulkifli Mohamad, 60, Laisani Dollah, 49, Sufian Awaludin, 38, Ridzuan Noor, 56, Yazid Yunus, 51 dan Yuri Azhar Abdollah, 43.

Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 menyatakan bahawa pemohon mesti merangka persoalan undang-undang dan Perlembagaan baharu yang berkait kepentingan awam dan dibangkitkan buat kali pertama.

“Persoalan dikemukakan untuk mendapatkan kebenaran juga bukan untuk kepentingan awam.

“Kami menolak permohonan (kebenaran) dengan kos RM30,000 perlu dibayar kepada responden,” kata Zabariah yang bersidang bersama Hakim Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Nordin Hassan.

Pada 23 November tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan kerajaan melarang perbuatan merokok di semua kedai makan.

Mereka memutuskan bahawa merokok di tempat awam bukanlah hak asas yang harus dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Datuk M Gunalan berkata, menteri kesihatan diberi kuasa di bawah undang-undang untuk mengenakan sekatan merokok, termasuk di tempat atau waktu merokok dilarang.

Gunalan yang bersidang bersama Hakim Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Lim Chong Fong, berkata mereka bersetuju bahawa hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Seri Mariana Yahya, juga tidak melakukan kesilapan undang-undang atau fakta dalam membuat keputusan menolak semakan kehakiman oleh perayu.

Ketujuh-tujuh individu itu mendapat kebenaran untuk merayu sebelum merit permohonan itu ditolak.

Pada 29 Oktober 2019, Mariana yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menolak permohonan semakan kehakiman oleh tujuh individu berkenaan untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan KKM melarang perbuatan merokok di kedai makan.

Sumber: Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss