TEG horizontal logo 2

Semua MP perlu sokong RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022

KUALA LUMPUR: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kebangsaan meminta semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat, Mei ini.

Pengerusi Biro Wanita, Keluarga dan PENAWAR, PEMADAM, Datuk Jamelah A Bakar, berkata pihak industri juga perlu memainkan peranan dengan menghormati hak rakyat Malaysia serta lebih bertanggungjawab menjaga kesihatan awam dengan menerima penggubalan undang-undang terbabit.

“Ini kerana didapati terdapat pihak industri tembakau yang bertapak di Malaysia amat gusar serta menentang hasrat keupayaan Kementerian Kesihatan (KKM) menggubal RUU itu dan memperkenalkan dasar generasi penamat rokok.

“Adalah wajar pihak industri menghormati hak rakyat Malaysia bukan mengaut keuntungan semata-mata serta melobi pihak berkepentingan untuk memastikan produk mereka berkekalan di Malaysia,” katanya melalui kenyataan, di sini.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, dilaporkan akan RUU baharu yang akan mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan merokok yang mengandungi nikotin yang digunakan untuk tujuan merokok.

Malah, hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan RUU baharu yang akan mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan merokok yang mengandungi nikotin tidak akan dilengahkan dan dibentangkan Mei ini.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, pelaksanaan RUU itu tertangguh disebabkan mendapat banyak reaksi negatif daripada Ahli Parlimen.

Pada masa sama, Jamelah berkata, PEMADAM yakin Perdana Menteri amat peka dengan impak kemudaratan penggunaan rokok elektronik kepada rakyat Malaysia.

Malah, katanya, kebimbangan pemimpin negara itu jelas dan mahu supaya kempen advokasi kesedaran penyalahgunaan vape dan rokok dipertingkatkan.

“PEMADAM yakin kerajaan yang sudah merdeka selama 66 tahun mempunyai kewibawaan yang tinggi untuk menggubal satu RUU khas kepada produk tembakau dan tabiat merokok serta mengiktiraf perbuatan merokok dan menghisap vape itu memudaratkan generasi muda.

“Akta Kawalan Produk Tembakau dan Merokok mampu menjadi teras kepada kawalan penularan penggunaan vape serta rokok selain mengambil pendekatan mewujudkan generasi penamat rokok dalam negara.

“Ini penting demi generasi muda Malaysia yang sihat tanpa rokok dan terhindar daripada penyalahgunaan dadah,” katanya.

Selain itu, Jamelah berkata, dasar percukaian yang diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia tanpa kawal selia yang komprehensif terhadap produk merokok akan menyebabkan ia terus berleluasa tanpa kawalan.

Katanya, PEMADAM berasa bimbang penggunaan rokok elektronik atau vape yang menjadi pembuka jalan kepada penyalahgunaan dadah menjadi di luar kawalan.

“Pada 2019, sebanyak 300,000 pelajar sekolah di seluruh negara menjadi pengguna vape, malah hari ini dilaporkan bahawa 43,019 pelajar sekolah menengah melalui kajian KKM adalah pengguna rokok.

“Pada masa sama, keputusan KKM mengeluarkan nikotin dari Akta Racun 1952, yang bertentangan dengan keputusan sebulat suara Ahli Lembaga Racun yang dipengerusikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, baru-baru ini, juga meninggalkan kesan negatif yang sangat besar kepada kesihatan awam negara,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss