TEG horizontal logo 2

Sokongi RUU GEG untuk negara bebas asap rokok

Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) merayu Ahli Parlimen untuk menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok bersama peruntukan Generasi Penamat (GEG) bagi menyelamatkan ribuan nyawa anak muda.

Menerusi RUU berkenaan, negara ini sudah pasti bakal mempunyai generasi yang bebas merokok.

Pegawai Pendidikan CAP yang juga aktivis anti merokok NV Subbarow berkata, Malaysia akan berada pada langkah pertama ke arah menjadi negara bebas asap rokok sekiranya RUU itu diluluskan di Parlimen.

Katanya, sebaliknya jika RUU itu gagal mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen, Malaysia akan mempunyai 100,000 lagi perokok dan penghisap vape pada masa akan datang.

null

“Keperluan Ahli Parlimen adalah bagi menyokong RUU itu demi generasi masa depan kita.

“Rokok dan vape dibimbangi bertindak sebagai pintu masuk bagi belia meneroka dadah terlarang, malah otak mereka juga terdedah kepada ketagihan nikotin.

“Apabila mereka bermula dengan rokok, adakah mereka berhenti pada rokok? Tidak, kerana ia akan membuka minda mereka bagi mencuba pelbagai jenis dadah, jadi yang paling penting ialah kita mesti menyelesaikan ini daripada sumbernya,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menerusi saringan yang dijalankan terhadap 1.3 juta pelajar menerusi program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (Kotak) tahun lalu mendapati seramai 43,019 golongan itu terbabit dengan tabiat merokok.

Dalam tempoh sama, hasil saringan yang dijalankan terhadap dua juta murid pula mengesan seramai 341 orang turut terjebak dengan perbuatan itu.

Subbarow berkata, CAP percaya bilangannya akan lebih banyak pada masa ini tambahan pula di sekolah rendah, murid mengakui bahawa mereka kadang kala turut menghisap rokok.

Katanya, menerusi tinjauan CAP, kanak-kanak yang merokok membelanjakan sekitar RM40 sebulan dan RM100 bagi pelajar.

“Kita tidak pasti daripada mana mereka mendapat wang itu, tetapi ada pelajar yang mengaku terpaksa berbohong kepada ibu bapa bagi mendapatkan wang dan segelintirnya mengaku mencuri duit.

“Tabiat merokok ini tidak pernah mengajar nilai moral yang baik kepada generasi akan datang,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss