TEG horizontal logo 2

Sudah tiba masa RUU GEG diluluskan – Pakar Kesihatan Awam

Pakar kesihatan awam, Dr Mary Assunta Kolandai

PUTRAJAYA: Pakar kesihatan awam berpendapat sudah tiba masanya Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 diluluskan di Parlimen dan dikuatkuasakan.

Menurut Dr Mary Assunta Kolandai, akta tersebut penting sebagai langkah penyelesaian jangka panjang untuk melindungi generasi muda kini dan akan datang.

Beliau yang juga Penasihat Kanan Dasar bagi Perikatan Kawalan Tembakau Asia Tenggara (SEATCA) berkata, tiada sebab RUU tersebut ditangguhkan kerana segala isu yang dibangkitkan telah dibincang bersama pihak berkaitan.

“Apabila melibatkan ketagihan, maka tiada lagi soal kebebasan untuk memilih. Sebagai pakar kesihatan awam, saya percaya untuk tidak melakukan kemudaratan dan bukan sekadar mengurangkan kemudaratan.

“Apabila membabitkan merokok dan menghisap vape kerana ketagihan produk itu, isu hak sebenarnya tidak lagi terpakai. Kerajaan perlu melakukan apa yang perlu dilakukan untuk melindungi rakyat terutamanya kanak-kanak kerana mereka golongan rentan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Persediaan Persidangan Pihak-Pihak (COP) kepada Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO FCTC) dan Mesyuarat Pihak-Pihak kepada Protokol untuk Menghapuskan Perdagangan Haram Produk Tembakau bagi sesi ketiga, di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 bakal dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat bulan depan.

Pada 12 Jun lalu, RUU terbabit dirujuk sekali lagi kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Parlimen selepas dibentang untuk bacaan kali pertama.

Ia adalah kali kedua RUU yang turut dikenali sebagai RUU Generasi Penamat (GEG) itu dirujuk kepada JKPK berkenaan selepas pertama kali dibentangkan Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin, pada tahun lalu.

RUU tersebut bakal melarang penjualan dan penggunaan sebarang bentuk bahan merokok termasuk rokok elektronik atau vape kepada individu yang dilahirkan selepas 1 Januari 2007.

Mengulas lanjut, Dr Mary Assunta berkata, ‘epidemik tembakau’ yang telah ‘meresap’ berpuluh dekad bukan sahaja di Malaysia namun di seluruh dunia, perlu dihentikan.

Bagaimanapun, beliau melahirkan kegusaran berhubung trend penggunaan rokok elektronik dalam kalangan remaja di negara ini.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022, kira-kira 14.9 peratus remaja menghisap vape, manakala 6.2 peratus merokok rokok konvensional.

“Kalau diamati di rantau ini, beberapa negara sudah mengharamkan rokok elektrik seperti Singapura, Brunei, Thailand, Hong Kong dan Laos, iaitu negara yang berdekatan dengan Malaysia.

“Sering diperkatakan bahawa vape sebagai alternatif berhenti merokok, namun realitinya beribu perisa cecair dan reka bentuk vape di pasaran yang menarik perhatian kanak-kanak. Saya rasa di situ punca masalah dan perlu dicari jalan penyelesaian untuk menoktahkan masalah ini,” katanya.

Sumber: Buletin TV3

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss