TEG horizontal logo 2

Surat Terbuka kepada Pemimpin Negara – Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman

MOHON SEBARKAN SELUASNYA JIKA BERSETUJU DENGAN PANDANGAN SAYA AGAR IA TURUT SAMPAI KEPADA WAKIL RAKYAT AHLI PARLIMEN ANDA, DEMI UNTUK GENERASI AKAN DATANG.


Surat terbuka kepada pemimpin politik negara: Anda mempunyai tanggungjawab moral bagi menyokong Rang Undang-undang Tembakau dan Merokok

  • YB Tan Sri Dato’ (Dr) Haji Muhyiddin Haji Muhammad Yassin, Pengerusi Perikatan Nasional
  • YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Barisan Nasional
  • YB Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili, Presiden Parti Bersatu Sabah
  • YB Tan Sri Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg, Gabungan Parti Sarawak
  • YB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah
  • YB Dato’ Seri Dr. Anwar Ibrahim, Pengerusi Pakatan Harapan
  • YB Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Haji Apdal, Presiden Parti Warisan Sabah
  • YB Dato’ Sri Wong Soon Koh, Parti Sarawak Bersatu
  • YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Presiden Ikatan Demokratik Malaysia
  • YB Dato’ Seri Utama Haji Mukhriz Tun Dr. Mahathir, Presiden Parti Perjuang Tanah Air
  • YB Larry Sng Wei Shien, Presiden Parti Bangsa Malaysia


Assalamua’laikum warahmatullah dan salam sejahtera,

Ahli-ahli yang Berhormat (AYB) adalah pemimpin gabungan parti atau parti politik yang mempunyai wakil di dalam Parlimen. Saya menulis surat ini kerana AYB mempunyai tanggungjawab moral bagi menyokong Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Tembakau dan Merokok dan memastikan wakil parti di Parlimen mengundi menyokong RUU berkenaan.

Saya telah meneliti kenyataan beberapa pemimpin politik baik di dalam media arus perdana mahu pun media sosial. Saya merasa amat terkilan dengan kenyataan retorik mereka yang tidak menyokong atau menzahirkan kebimbangan yang tidak berasas atau meletakkan syarat sebelum menyokong, yang sebahagian besarnya mengalunkan irama yang sama dengan nada yang disuarakan oleh pihak industri. Sebab itu saya terpanggil di dalam penulisan saya sebelum ini meminta parti dan pegawai parti untuk mengistiharkan kepentingan mereka berkait dengan industri rokok dan vape. Jika AYB atau parti AYB menerima sumbangan kewangan dari syarikat rokok atau vape, sewajarnya AYB mengistiharkan kepentingan AYB sebelum membuat sebarang kenyataan berkaitan dengannya.

Berikut adalah 10 perkara yang ingin saya bangkitkan:

  1. Saya terkilan bila Sdra YB Anwar Ibrahim berkata jangan “bulldoze” sahaja RUU ini seolah-seolah Sdra tidak memahami bagaimana pegawai kerajaan melakukan proses pengubalan RUU sedangkan Sdra pernah berada di dalam kerajaan. RUU ini antara RUU yang paling lama untuk digubal di KKM dan untuk sampai tahap ini. Saya tahu kerana saya sendiri terlibat mengerakkan semula pengubalannya semasa menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) dan dirancakkan setelah kami gagal mendapatkan persetujuan Kabinet dalam tahun 2016 untuk mengharamkan vape dan sebaliknya hanya mahu ia dikawal. Beberapa siri “public and close door engagement” dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pihak industri telah dilakukan untuk beberapa tahun. Kita mendengar semua pihak dan deraf ini telah mengambilkira instrumen “Framework Convention on Tobacco Control (FCTC), WHO, di mana kita adalah negara ahli, serta amalan baik negara lain. Menteri Kesihatan silih berganti namun saya amat berterima kasih kepada YB KJ yang mempunyai “political will” untuk membawa RUU ini ke Parlimen. Saya amat berterima kasih kepada YAB PM Ismail Sabri kerana Kabinet beliau bersetuju RUU ini di bawa ke Parlimen, kerana saya telah menunggu lebih dari 5 tahun selepas pesaraan pilihan (2017) untuk melihat ini berlaku.
  2. Ramai Ahli Parlimen mempersoalkan keberkesanan atau ingin kepastian mengenai keberkesanan perlaksanaan dan penguatkuasaan khususnya “Generational End Game, GEG”. Saya ingin bertanya kepada AYB sekelian, apakah sebenarnya pendirian atau pegangan AYB terhadap rokok dan vape? Apakah AYB perpendirian masih ada kebaikan dalam penggunaan tembakau dan vape? Tembakau tidak sama dengan alkohol sebab itu tembakau adalah satu-satu produk komoditi yang di kawal di bawah instrumen antarabangsa WHO (FCTC) kerana buruknya kesan tembakau dan merokok, termasuk vape. Jika kita sudah menerima hakikat bahawa ia buruk kepada kesihatan dan ekonomi negara, kenapa masih teragak-teragak? Tugas AYB adalah untuk membuat dan menentukan halatuju dasar. Jika rokok dan vape itu memudaratkan kesihatan dan membebankan kerajaan menanggung akibat tabiat buruk tersebut maka dasar yang betul adalah negara harus bebas dari ancaman tembakau dan vape. Maka tugas AYB adalah meluluskan RUU ini kerana itulah dasar yang hendak dicapai. Lepaskan tanggungjawab memperincikan perlaksanaan kepada pakar kesihatan, sosial dan undang-undang yang berkaitan, mereka lebih arif.
  3. Ada AYB yang ragukan perlaksanaan kaedah yang belum terbukti keberkesanannya, sehingga ada mencadangkan tempuh pemantauan. Kenapa Sdra YB Wong Chen menyamakan RUU ini dengan kaedah fiskal kerajaan seperti GST? RUU ini bukan kawalan tembakau melalui tindakan fiskal untuk menggunakan kaedah seperti RUU GST. RUU ini juga bukan berkait dengan keselamatan negara atau ketenteraman awam untuk mengada peruntukkan semakan atau tempuh tamat (“sunset clause’). Kenapa RUU ini perlu dilayan sedemikian? Saya nak tanya, RUU mana yang perlu ditunjukkan keberkesanannya sebelum dibentang di Parlimen? Banyak peruntukkan disandarkan kepada pengetahuan dan bukti saintifik. Yang mengubal adalah professional kesihatan dari pelbagai bidang. Ambil contoh peraturan “plain packaging” di Australia, yang berasaskan kepada sains tingkahlaku dan pengaruh penampilan, apakah Parlimen Australia perlukan pembuktian sebelum meluluskan undang-undang tersebut? Tidak, tapi itulah yang dicanangkan oleh pihak industri, tetapi parlimen Australia tegas. Dan hasilnya, antara tahun 2012 – 2015, kajian menunjukkan penurunan 25% prevalen merokok di Australia adalah disebabkan oleh “plain packaging”.
  4. Kenapa GEG masih diragukan? Sebenarnya, kaedah terbaik adalah pengharaman sepenuhnya (“total ban”) tembakau dan merokok seperti dilakukan oleh Brunei. Kita juga terlepas peluang mengharamkan vape dalam tahun 2016 seperti yang dilakukan oleh Singapura. Semasa membentangkan kepada Kabinet dalam tahun 2016, pengharaman vape adalah antara pilihan yang dicadangankan oleh KKM. Kerana kerajaan tidak mahu mengharamkannya secara total sekali gus, maka GEG adalah alternatif iaitu pengharaman berperingkat. Peraturan sediaada sudah pun menghalang penjualan hasil tembakau kepada kanak-kanak 18 tahun ke bawah. Prevalen merokok di kalangan remaja bawah 17 tahun masih di bawah 15% berbanding dengan orang dewasa yang boleh mencecah 40-45%. Di bawah GEG, kita hanya mahu memanjangkan tempuh “perlindungan” kepada kanak-kanak dari tahun ke tahun. Tahun ini 17 tahun, tahun depan 18 tahun, tahun berikutnya 19 tahun, dan seterusnya sehinggalah mereka tua. Logiknya dengan kaedah ini kita akan mencapai prevalen di bawah 15% seperti yang disasarkan suatu hari nanti. Bayangkan nanti dalam tahun 2045, generasi mereka yang berumur 18 tahun pada tahun 2023 akan berumur 40 tahun dan prevalen merokok generasi ini kekal di bawah 15%, tidak seperti generasi sekarang yang berumur 40 tahun dengan prevalen melebehi 40%. YB Lim Lip Eng, apakah yang dimaksudkan dengan “workable manner”? Pengharaman penjualan rokok kepada kanak-kanak bawah 18 tahun sememangnya telah pun dilaksanakan sekarang dan “and it is working and partly contribute to the prevalence being maintained at below 15%. It is our political will to make it happen”
  5. Ada juga yang menpersoalkan keberkesanan pengharaman penjualan kepada kanak-kanak. Tetapi saya nak tanya AYB, RUU mana di negara ini yang penguatkuasaannya begitu “tip-top” sehingga ia dijadikan modal untuk mempersoalkan keberkesanan penguatkuasaan RUU ini nanti? AYB, terimalah hakikat bahawa di negara ini kita mempunyai isu besar dalam penguatkuasaan undang-undang. Gunung-ganang dan bukit bukau ditarah dengan rakus hingga rumah rakyat hanyut dibawa arus lumpur, walaupun ramai yang mempersoalkan penguatkuasaan undang-undang berkenaan tapi kita buat tak dengar. Ratusan juta saman trafik yang tidak dibayar tapi kerajaan mendidik rakyat buat tak kisah, nanti kerajaan bagi diskaun. Akibatnya, saban tahun kadar kemalangan dan kematian di jalan raya kekal tinggi. Tak usahlah cakap fasal rasuah, AYB sendiri tahu di mana kedudukan kita. Sebenarnya pada saya AYB lah yang turut membiarkan masalah penguatkuasan sedemikian rupa. Selagi tidak ada kehendak politik (political will) untuk membetulkan kepincangan ini, selagi itu jangan jadikan keberkesanan penguatkuasaan sebagai alasan. Ayuh AYB, kerajaan hari ini dan mana-mana parti yang membentuk kerajaan akan datang, beriltizamlah bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang diperkukuhkan, bukan sahaja RUU ini, tapi semua RUU yang ada di negara ini, tampa memilih bulu, tamoa membezakan rakyat marhaem dengan “bangsawan” di bumi kayangan. Sudah-sudahlah mempersoalkan keberkesanan perlaksanaan, tapi bertindaklah bagi memastikan ia dilaksanakan dengan memberi peruntukkan yang mencukupi dengan menutup ketirisan kewangan kerajaan akibat rasuah. Ya, sebenarnya kita memerlukan “a total political reform” yang juga memerlukan “politicial will” yang cukup kuat. Apakah kita tidak mahu berusaha menyelamatkan generasi akan datang? Sepatutnya AYB dengan tegas membuat dasar “zero tolerance” kepada rasuah!!!
  6. Ada pula yang mempersoalkan apa nak buat jika kanak-kanak ditangkap, siapa yang patut dikompaun atau dipenjarakah? Kanak-kanak patut dididik, dan yang bersalah patut dihukum yang berbentuk pendidikan. Tetapi bagi kesalahan menjual oleh penjual dewasa, mereka wajar dihukum penjara kerana sikap tidak bertanggungjawab mereka yang mengakibatkan ketagihan dikalangan kanak-kanak dan menjejaskan kesihatan mereka apabila dewasa kelak. Apakah mereka ini akan menjual rokok kepada anak-anak mereka sendiri yang di bawah umur? Sudah sampai masanya, penjualan rokok dan vape dilesenkan bagi memperkukuh pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan.
  7. Begitu juga dengan isu mengkaitkan penguatkuasaan dengan penyeludupan rokok haram. Sudah-sudahlah memainkan hujah industri ini. YB Lim Lip Eng, beritahu saya apa yang tidak diseludup masuk atau keluar di negara ini? Minyak masak, minyak petrol dan disel, manusia dan perdagangan manusia? Kebolosan sempadan negara semua orang tahu. Keberadaan anggaran lebih 4 juta warga asing tidak sah semacam sudah diterima sebagai satu kelaziman sehingga ada antara mereka sudah menguasai sektor ekonomi tertentu. Jika benar berlaku penjualan produk haram berleluasa, AYB sepatutnya bertanya pada diri sendiri sebagai pemimpin, apa yang sudah AYB buat? Ahli parti YB berada dalam kerajaan pusat, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan, apa yang mereka buat? Di Sabah tak usah cakap, kekusutan yang tiada kesudahannya. AYB tahu apa yang patut dibuat bagi mengatasinya, tetapi sejauh mana kerajaan atau parti-parti yang akan membentuk kerajaan di semua peringkat – pusat, negeri dan kerajaan tempatan, mempunyai kehendak politik untuk merungkai dan menanggani pemasalahan ini? Kenapa lihat Bhutan, kenapa tidak lihat Brunei, Singapura dan Australia? Jangan sesekali berhujah bahawa kebolosan sempadan kita kerana persisiran pantai dan sempadan yang luas. Sempadan negara-negara maju lain jauh lebih besar dari Malaysia. YB Maria Chin, “gajah di dalam bilik” hanya perlu ditembak dengan menyediakan “peluru” yang diperlukan oleh pihak berkuasa. Gajah ini akan kekal di dalam bilik selagi kita tidak melakukan sesuatu untuk memperbaiki proses dan persekitaran kerja agensi-agensi penguatkuasa. Kita mesti hancurkan budaya rasuah dalam sistem bernegara kita hingga ke akar umbinya. Tapi bermoralkah kita untuk menangguhkan perlindungan terhadap generasi akan datang sehingga semua ini berlaku?
  8. Jadi jika isu penyeludupan ini bukan isu rokok semata-mata, kenapa ia dikaitkan dengan RUU ini? Kerana itulah yang dimainkan oleh pihak industri khususnya setiap kali hamper dengan bulan bajet. Kenaikan cukai eksais adalah satu strategi berkesan yang disarankan oleh WHO bagi mengawal kebolehcapaian produk tembakau. Tetapi setiap kali kenaikan cukai eksais diusulkan, maka bertambah kuatlah hujah pihak industri memainkan sentimen bahawa kenaikan harga rokok akan menyebabkan meningkatnya penyeludupan dan kehilangan pendapatan kepada kerajaan. Malangnya AYB turut mendendangkan irama yang sama. Tapi saya nak dedah kepada AYB, antara tahun 2011 hingga 2013, tiada kenaikan cukai di kenakan tetapi industri rokok menaikkan sebanyak 3 kali harga rokok premium dari RM9.30 sekotak (2010) kepada RM10.50 (2013). Begitu juga dalam tahun 2015, tiada cukai dinaikkan tapi harga rokok premium naik kepada RM13.50. Saya tahu kerana saya adalah pegawai yang diberi kuasa meluluskan harga-harga tersebut waktu itu! Yang ajaibnya, tiada pula kedengaran cerita-cerita penyeludupan berlaku, akbar arus perdanapun senyap sepi mengenainya. Begitulah cerdiknya pihak industri bermain sentimen penyeludupan ini. Sudah-sudahlah kita diperbodohkan dengan hujan-hujah sedemikian bagi industri ini.
  9. Ada yang mengatakan AYB takut undi kepada parti terjejas. Sebab itulah saya ingin melihat RUU ini mendapat sokongan “bipartisan” supaya tidak timbul isu ini. Tambahan AYB, secara matematiknya, ini tidak seharusnya menjadi kegusaran AYB. Angka terkini (2019) dari Kajian Morbiditi Kebangsaan, prevalen merokok di kalangan orang dewasa (yang mengundi) hanyalah 21.3% (95% CI: 19.86, 22.75). Jadi kenapa kita harus korbankan generasi masa depan anak cucu kita semata-mata takut 21.3% ini tidak mengudi kita sedangkan majoriti pengundi (78.7%) tidak merokok? Sekalipun YB Marina Chin, ia kelihatan dasar “populist” tapi apa salahnya? AYB tidak bimbang pula kehilangan undi jika berlawanan dengan harus popular? Sungguh, ahli politik sukar difahami dan kadangkala di lihat lebih mementingkan diri sendiri dari kesejahteraan rakyat. Apatah lagi RUU ini tidak akan menjejaskan perokok-perokok. Seperti kata KJ, hisaplah sampai mati!!! Malah saya amat yakin, kalau ditanya kepada perokok tegar sekalipun, apakah mereka suka melihat anak mereka merokok, pasti mereka akan mengatakan tidak.
  10. Saya amat yakin, GEG atau pengharaman berperingkat (staggered ban) adalah strategi yang tepat bagi memastikan generasi akan datang selamat dari ancaman asap rokok dan vape. Malaysia akan menjadi negara contoh dalam perlaksaan GEG seperti Australia menjadi negara contoh bagi “plain packaging” yang telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Sebab itu saya tidak heran jika Malaysia akan menjadi tumpuan utama industri rokok untuk menggagalkan usaha ini. Saya amat yakin jika strategi ini di disokong dengan strategi-strategi lain seperti kawalan pameran (display) dan “plain packaging”, kita akan dapat mencapai sasaran dalam masa yang lebih cepat. Sudah-sudahlah menzahirkan kebimbangan kepada nasib peniaga runcit. AYB pergilah tanya sendiri berapa besar keuntungan yang peniaga runcit dapat dari menjual rokok? Bankrupkah mereka kalau tak dapat jual rokok pada remaja? Boleh beritahu saya, kedai kopi mana yang terpaksa tutup kedai dan hotel mana yang hilang pelangan kerana orang tak boleh merokok atau mengamalkan “smoke-free” hotel. Malah “smoke-free” hotel sudah menjadi “trending” masa kini. Yang pasti industri rokoklah yang akan rugi jika orang berhenti merokok, tetapi peniaga runcit, kedai kopi dan hotel tidak akan muflis kerana tak boleh jual rokok. Jangan dibimbangkan jika industri rokok muflis di Malaysia kerana hanya ada lebih sedikit dari 1,000 pekerja yang ada kaiitan dengan industri rokok, berbanding dengan berjuta kanak-kanak dan remaja yang hendak dilindungi.

AYB, adalah menjadi tanggungjawab moral AYB untuk melindungi generasi akan datang. Maka mohon maklum kepada SEMUA ahli parlimen parti AYB agar menyokong RUU ini. Tugas AYB adalah membuat dasar, maka biarkan pegawai dan kakitangan kerajaan memperincikan perlaksanakan dasar tersebut. RUU ini digubal oleh pakar-pakar yang arif mengenai isu yang ditangani dan telah melalui proses-proses libaturus dengan pihak-pihak yang berkepentingan untuk tempuh yang cukup lama. Saya tidak berkesempatan melihat RUU ini diluluskan semasa saya berkhidmat dalam kerajaan, namun saya masih menaruh harapan ia akan menjadi kenyataan semasa hayat saya,

Saya ingin menutup surat ini dengan sebuah hadith berikut:

Abu Said al-Khudri RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Sesiapa di antara kamu melihat sesuatu kejahatan, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan lisannya, dan sekiranya tidak sanggup hendaklah dengan hatinya yang demikian itu (mengingkarkan dengan hati) adalah selemah-lemah iman.”. Sahih Bukhari.

Tangan-tangan pelbagai pakar-pakar telah mengubal RUU ini. Saya telah menggunakan tangan saya bagi menulis surat ini. AYB mempunyai kuasa untuk menggunakan tangan di Parlimen bagi melindungi generasi Malaysia akan datang. Gunakanlah tangan AYB bagi menyokong RUU ini.

Sekian, wabillah hitaufik walhidayah, wassalamua’laikum warahmatullah hiwabarokatuh.

Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman
Pakar Perunding Kesihatan Awam

24 Julai 2022.

Kenyataan ini adalah pandangan peribadi saya sebagai Pakar Kesihatan Awam berdaftar yang tidak semestinya mewakili mana-mana pihak yang dikaitkan dengan saya.

Sumber: Facebook

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss