TEG horizontal logo 2

Syarikat Motorola lancar alat kesan asap e-rokok

Encik Choong Kit Soon dari Motorola Solutions Singapore memegang alat pengesan pintar yang diberi nama ‘Halo Smart Sensor’. Alat ini dapat mengesan aerosol e-rokok, serta memantau penggunaan ganja, pencerobohan atau jeritan meminta pertolongan, tembakan, nitrogen dioksida, kelembapan di udara dan suhu. – Foto ST

Syarikat teknologi sedang berusaha menyediakan produk alat pengesan asap e-rokok, berikutan peningkatan mendadak dalam rampasan ‘vape’ di Singapura.

Antaranya ialah syarikat komunikasi dan keselamatan, Motorola Solutions, sejak September telah memasarkan alat pengesan pintar, Halo Smart Sensor, di organisasi-organisasi di sini, termasuk di sekolah-sekolah yang menunjukkan peningkatan pelajar yang ditangkap menggunakan e-rokok.

Setiap alat pengesan dijual pada harga sekitar $2,000 dan biasanya diletakkan di dalam tandas, bilik darjah atau pejabat.

Alat itu memantau 16 titik data termasuk zarah halus, karbon monoksida dan bilangan orang di dalam bilik.

Ia juga mampu memantau kualiti udara dan mengesan bahan kimia berbahaya yang terdapat dalam e-rokok, lapor The Straits Times (ST).

Apabila diaktifkan, alat pengesan pintar ini akan menghantar amaran melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada pusat kawalan keselamatan atau guru, yang kemudiannya boleh mencari ‘vape’ tersebut dan pelajar yang terlibat.

Selain daripada mengesan aerosol e-rokok, alat pengesan pintar Halo boleh memantau penggunaan ganja, pencerobohan atau jeritan meminta pertolongan, tembakan, nitrogen dioksida, kelembapan di udara dan suhu.

Seorang guru di Singapura, yang baru-baru ini menangkap murid Darjah 4 sedang menggunakan e-rokok, berkata alat pengesan pintar ini boleh “mengubah situasi atau masalah sedia ada dengan ketara”.

Seorang lagi guru dari institut pengajian tinggi (IHL) pula berkata sekolah memerlukan sebanyak mungkin bantuan dalam mengesan penggunaan e-rokok.

Beliau berkata sekolahnya telah mengesan kira-kira 200 kes melibatkan pelajar menggunakan e-rokok sebulan, dalam tempoh masa tiga bulan, mulai Oktober 2022.

Pelajar sering menyembunyikan ‘vape’ di siling palsu atau di belakang cermin di dalam tandas, tambahnya.

Walaupun larangan mengimport, pemilikan dan penggunaan ‘vape’ telah dikuat kuasa sejak 2018, bilangan yang ditangkap dengan peranti itu telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada 2023, 7,838 telah ditangkap kerana memiliki atau menggunakan ‘vape’, peningkatan 60 peratus daripada 4,916 pada 2022.

Pada 2021, sekitar 4,700 pengguna telah ditangkap.

Pada separuh pertama 2024, angka Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menunjukkan 5,480 telah ditangkap kerana memiliki atau menggunakan ‘vape’.

Lebih separuh, atau 3,840 orang, ditangkap antara 1 Julai dan 30 September sahaja.

MOH berkata ini termasuk 743 kes pelajar yang ditangkap menggunakan e-rokok.

Bagi menangani masalah di sekolah, MOH dan HSA telah bekerjasama dengan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan Kementerian Pendidikan (MOE) untuk meningkatkan usaha menangani masalah ‘vape’.

Pada Julai, HPB melancarkan kempen yang disebarkan melalui iklan dan saluran media sosial yang menekankan bahaya penggunaan ‘vape’ dan pengharamannya di Singapura.

Ia juga telah bekerjasama dengan sekolah rendah dan menengah untuk mengajar hampir 37,000 pelajar tentang manfaat gaya hidup bebas nikotin melalui persembahan sketsa.

Pelajar yang terlibat menggunakan e-rokok telah diberi sokongan dan strategi untuk berhenti.

Kira-kira 830 golongan muda menerima kaunseling antara Julai dengan September 2024.

Sementara itu, HSA telah memantau kandungan dalam talian untuk mengenal pasti mereka yang menggunakan ‘vape’ di khalayak ramai dan merakamkan video atau bergambar dengan ‘vape’.

Anggota Parlimen GRC West Coast, Encik Ang Wei Neng, berkata perjuangan menentang pengaruh ‘vape’ dalam kalangan golongan muda harus dijalankan dalam pelbagai aspek, kerana terdapat banyak siaran media sosial yang cuba membiasakan amalan itu atau mempromosikannya sebagai trend yang menarik.

Encik Ang telah menyuarakan kebimbangannya di Parlimen pada April mengenai generasi muda yang menggunakan ‘vape’.

Beliau memberitahu ST: “Jika alat pengesan tersebut boleh digunakan dalam skala dan dengan kos yang berpatutan, ia mempunyai banyak potensi untuk mengesan ‘vape’ dan memberi amaran kepada HSA untuk mengambil tindakan pantas.

“Jika ia dilaksanakan dengan baik, ia akan membantu dalam mengurangi kesan negatif ‘vape’.”

Sumber: Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss