TEG horizontal logo 2

Syor kerajaan naikkan harga rokok

SHAH ALAM – Kerajaan disyorkan menaikkan harga rokok sebagai langkah mengurangkan penggunaan produk tembakau bagi mencapai sasaran Malaysia Bebas Asap Rokok menjelang tahun 2045.

Penyelaras Kawalan Tembakau, Inisiatif Malaysia Bebas Asap Rokok, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, perkara itu boleh dibuat dengan menaikkan cukai ke atas semua produk tembakau yang telah dihentikan sejak 2015 selaras dengan syor Bank Dunia.

Katanya, cadangan itu dibuat bersempena sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2023 yang disambut pada Rabu yang bertemakan ‘Kita memerlukan makanan, bukan tembakau’.

“Sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2023 juga disyorkan kerajaan menyegerakan pelesenan semua jualan runcit produk tembakau di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (Pelesenan Tembakau dan Keluaran Tembakau) 2011.

“Kami juga cadangkan supaya kuasa penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 juga diturun kuasa kepada semua pihak berkuasa tempatan,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Muhammad Sha’ani memberitahu, kerajaan juga dicadangkan agar memperuntukkan seluruh kutipan cukai tembakau dan alkohol untuk perkhidmatan rawatan berhenti merokok dan penggunaan alkohol.

“Kami juga menggesa agar Perkara 3.8.2 Kod Amalan Kualiti Udara Dalaman 2010 dipinda supaya semua tempat kerja menjadi kawasan larangan merokok memandangkan sebarang tindakan merokok di ruang dalaman boleh menjadikan kualiti udara tidak mematuhi aras standard kualiti udara dalaman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Selain itu, kami mencadangkan supaya papan-papan tanda ‘Dilarang Merokok’ ditukar kepada ‘Kawasan Bebas Asap Rokok’ untuk menjadikan wawasan generasi penamat (endgame) tembakau suatu usaha positif dan tanggungjawab bersama,” ujarnya.

Menurutnya, statistik menunjukkan satu daripada lima atau 20 peratus kanak–kanak di Malaysia terbantut.

“Fenomena ini yang menunjukkan isi rumah di negara ini memerlukan makanan berkhasiat dan ia sesuatu yang mengejutkan jika dibandingkan dengan kadar tabiat merokok di Malaysia yang puratanya sebanyak 21.3 peratus pada 2019.

“Sememangnya ada ketua isi rumah mengutamakan ketagihannya daripada keperluan pemakanan anak-anak dan tanggungan.

“Ini memerlukan usaha-usaha dengan pendekatan ‘whole of society’ untuk menggalakkan perokok-perokok mengurangkan tabiat merokok dan seterusnya berhenti merokok,” beritahunya.

Tegasnya, usaha-usaha untuk mencapai Malaysia Bebas Asap Rokok memerlukan kepimpinan di semua peringkat masyarakat dan kerajaan untuk menjadi contoh teladan menerapkan nilai-nilai baik dari segi kesihatan dan menghindari tabiat memudaratkan kesihatan, pembaziran dan menjadi punca kerugian dari kebakaran serta merosakkan alam sekitar.

Sumber: Sinar Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss