GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menganggap penangguhan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 adalah satu bentuk pengkhianatan dan pelanggaran hak pengguna.
Pegawai Pendidikan CAP dan aktivis antimerokok, NV Subbarow, berkata rakyat berhak mendapat perlindungan daripada sebarang bentuk kemudaratan, dan dalam kes ini, ia adalah perlindungan daripada bahaya produk merokok.
“Tambahan pula terlalu banyak lambakan produk vape di pasaran kini yang dibenar dijual secara bebas di pasaran terbuka tanpa kawalan dan undang-undang.
“Akibatnya, lebih ramai golongan muda terjebak dengan aktiviti merokok dan jika dibiarkan berleluasa, tidak mustahil aktiviti penyalahgunaan dadah boleh menular menerusi peranti vape yang digunakan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Subbarow berkata, pihaknya sudah lama berjuang dalam menegakkan hak pengguna di negara ini, termasuklah isu bahaya rokok elektronik atau vape.
Apabila kerajaan membuat keputusan bagi menangguhkan pembentangan RUU, CAP berasa sangat terkilan dan merasakan ia adalah satu pengkhianatan terhadap rakyat oleh pihak kerajaan.
“Apakah alasan kerajaan untuk menangguhkan RUU ini? Jika isu seperti kekurangan bekalan beras tempatan, cuaca jerebu dan lain-lain dijadikan punca penangguhan RUU, amatlah tidak logik kerana semua itu sepatutnya boleh ditangani secara serentak oleh Kerajaan Madani yang cekap dalam pentadbirannya.
“Usahlah khianati kepercayaan yang diberi rakyat kepada kerajaan. Pembentangan RUU ini perlu disegerakan,” katanya lagi.
Menurut Subbarow lagi, ahli parlimen juga tidak boleh beri alasan bagi tidak menyokong RUU berkenaan.
“Jangan mempertaruhkan masa hadapan anak kita demi kepentingan individu tertentu.
“Jadilah penyelamat kepada generasi akan datang dengan memastikan masa hadapan mereka terbela dengan adanya peruntukan Generasi Penamat Rokok,” katanya.
Sumber: Berita Harian