TEG horizontal logo 2

Tarik semula keputusan kenakan cukai cecair vape – Pemuda Umno

Putrajaya: Pemuda Umno mencadangkan kerajaan menilai dan menarik semula keputusan mengenakan cukai ke atas penjualan cecair vape.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, keputusan itu perlu dinilai sehingga Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok bagi mewujudkan Generasi Penamat Rokok dan Vape yang lahir selepas 2007, supaya kesan buruk jangka masa panjang terhadap kesihatan rakyat dapat dikurangkan.

Beliau berkata, rasional terhadap cadangan itu adalah Akta GEG perlu dilaksanakan terlebih dulu barulah kerajaan wajar mengeluarkan cecair vape yang bernikotin ini dari Akta Racun 1952.

“Ia agar cukai yang tinggi boleh dikenakan ke atas pengguna tidak tergolong di dalam generasi penamat untuk mengurangkan kadar penggunaan vape.

“Pergerakan Pemuda Umno berpendirian tegas agar cadangan yang dikemukakan ini dapat dipertimbangkan secara serius oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya juga akan menyerahkan surat berhubung perkara ini, menyatakan bantahan serta cadangan kepada Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bermula semalam, kerajaan melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik (e-rokok) pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml).

Pelaksanaan cukai itu diumumkan menerusi notis warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

Sementara itu, warta dikeluarkan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa menyatakan, tampalan, cecair dan gel nikotin untuk membantu menghentikan tabiat merokok kini dikecualikan daripada Akta Racun 1952.

Susulan itu KKM dilapor akan membentangkan RUU baharu untuk mengawal selia semua produk merokok termasuk bahan merokok yang mengandungi nikotin digunakan untuk tujuan merokok.

Dr Zaliha dilaporkan berkata, pembentangan RUU itu adalah bagi memastikan wujud kawalan menyeluruh terhadap sediaan nikotin atau gel mengandungi nikotin dalam cecair rokok elektronik atau vape.

Dr Muhammad Akmal berkata, mengeluarkan cecair vape yang mempunyai nikotin dari Akta Racun supaya ia boleh dikenakan cukai semata-mata bukanlah satu tindakan yang wajar dan bijak pada ketika ini.

“Benar sebelum ini, kesemua cecair vape tidak dapat dikenakan cukai atas sebab cecair vape yang mempunyai nikotin ini berada di dalam senarai Akta Racun.

“Akan tetapi implikasi terhadap kesihatan rakyat dalam jangka masa yang panjang adalah jauh lebih penting dari keuntungan yang diperoleh hasil dari pungutan cukai ke atas cecair vape ini,” katanya.

Beliau berkata, penarikan cecair yang mempunyai nikotin dari Akta Racun 1952 seolah lesen besar membenarkan rakyat Malaysia tanpa mengira umur untuk mengambil nikotin tanpa sebarang bentuk garis panduan.

“Kebimbangan Pemuda Umno sekiranya tiada garis panduan yang jelas, ia memberikan kesan yang besar khususnya kepada golongan muda untuk terdedah kepada pengambilan nikotin tanpa kawalan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss