Kuala Lumpur: “Vape menyebabkan saya hampir dijemput ajal. Kerana vape jugalah dada saya terpaksa ditebuk sebagai ikhtiar terakhir menyelamatkan nyawa,” ujar seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Paan, 33.
Menurutnya, ketagihan kronik menghisap vape atau rokok elektronik (e-rokok) sejak tiga tahun lalu hampir meragut nyawanya, baru-baru ini.
“Semuanya mula menampakkan tanda awal apabila saya diserang sakit angin di dalam perut, gastrik dan pedih hulu hati sekitar awal Disember lalu. Rasa sakit itu datang menyerang secara berkala.
“Ketika itu memang tubuh rasa tidak selesa, namun saya masih menghisap vape seperti lazimnya,” katanya yang menetap di Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang.
Dia kemudian berjumpa dengan doktor klinik sebelum diagnosis mengesahkan dia berdepan isu kolestrol dan gerd iaitu masalah asid terlalu banyak dalam perut.
“Walaupun bermacam ubat dimakan namun keadaan tubuh saya semakin teruk. Malah saya kerap berasa terbakar pada bahagian dada. Dada berasa amat ketat hingga menyebabkan saya sesak nafas, lelah dan cepat kepenatan.
“Kemuncak penderitaan serangan demam panas dan gerd pada 23 Disember lalu. Perut rasa terlalu sebu dan semua ubat klinik yang dimakan langsung tidak berkesan untuk memulihkan kesakitan.
“Saya akhirnya disorong masuk ke sebuah hospital swasta di Kuantan, Pahang, selepas keadaan bertambah kritikal,” katanya.
Menurutnya, doktor pakar di hospital mulanya mengesyaki dia diserang asma namun pemeriksaan ultrasound mendapati paru-parunya di sebelah kanan tidak berfungsi.
“Malah, imbasan ultrasound gagal mengesan kedudukan paru-paru saya itu yang menjadi kecut. Saya kemudian terpaksa menjalani ujian X-ray sebelum dimasukkan ke red zone (zon merah untuk pesakit kritikal).
“Doktor kemudian memaklumkan terpaksa melakukan prosedur menebuk bahagian bawah tulang rusuk berhampiran ketiak untuk menyelamatkan nyawa saya,” katanya.
Menurutnya, proses itu dilakukannya dalam keadaan dia masih sedar sebelum doktor memasukkan tiub bagi membuang angin yang terperangkap di bahagian paru-paru itu.
“Keadaan ketika itu amat mencemaskan, namun segalanya berakhir dengan rasa syukur apabila saya mampu bernafas semula dengan lancar sebaik angin di bahagian paru-paru itu dikeluarkan.
“Selama beberapa hari pihak hospital menggunakan alat vacuum untuk menyedut keluar angin dari dalam tubuh bagi membolehkan saya bernafas dengan normal.
“Hampir tiga minggu saya terlantar di hospital sebelum berjaya dipulihkan. Doktor yang merawat saya mengakui apa yang berlaku pada paru-paru saya itu kesan pengambilan vape bernikotin.
“Doktor menasihati saya supaya berhenti terus menghisap vape jika masih sayangkan nyawa. Kini saya sudah bertaubat dan mengucapkan selamat tinggal pada vape,” katanya.
Paan berkata, dia mula merokok sejak berusia 14 tahun sebelum beralih kepada pod dan vape sekitar 2020.
“Saya akui ketagih menghisap vape dan berbelanja ratusan ringgit sebulan bagi membeli kartrij dan cecair perisa vape.
“Walaupun sudah pulih, namun kesan kerosakan paru-paru itu menyebabkan saya kini tidak sekuat dahulu. Saya tidak boleh lagi berlari laju, menjalani aktiviti di gimnasium serta aktiviti lasak lain,” katanya yang sudah berumah tangga dan bekerja sebagai pengedar barangan.
‘Dakyah sesat’ vape kurang mudarat
Kuala Lumpur: “Jika ada tanggapan rokok elektronik (e-cigarette) atau vape kurang mudarat berbanding rokok konvensional atau tembakau, ia adalah ‘dakyah sesat’ dan mengarut,” ujar Ketua Pasukan Bertindak Berhenti Merokok, Kluster Perubatan dan Kesihatan, Akademi Profesor Malaysia Prof Mohamad Haniki Nik Mohamed.
Menurutnya, cecair nikotin adalah kandungan wajib dalam vape yang menjadi tarikan dalam kalangan golongan muda serta penghisap vape tegar.
“Tanpa nikotin, vape hanya alat yang tiada makna. Nikotin diperlukan dalam rokok elektronik supaya penghisapnya menjadi ketagih. Saya tidak nampak bagaimana vape yang didakwa boleh membantu menyelesaikan masalah ketagihan rokok.
“Apa yang pasti pengguna rokok elektronik atau vape ini berisiko menghidap pelbagai komplikasi penyakit baharu.
“Bahan kimia lain seperti Propylene Glycol (PG), Vegetable Glycerin (VG) dan bahan perisa digunakan dalam cecair vape bakal mendatangkan masalah sampingan lain.
“Hasil dapatan daripada penyelidik tempatan iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2020 juga mendapati cecair rokok elektronik yang dijual di pasaran Malaysia akan menghasilkan sebatian lain apabila dicampurkan.
“Ia juga akan menghasilkan bahan berbahaya dipanggil toxic intermediates dikenali sebagai Volatile Organic Compound (VOC) yang terbukti boleh memberikan kesan sampingan kepada kesihatan terutama kepada paru-paru manusia.
“Kerosakan atau kecederaan paru-paru ini dikenali sebagai E-cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (Evali),” katanya kepada Metro Ahad.
Menurutnya, kes serangan Evali terutama kepada golongan belia semakin menjadi-jadi dengan kebanyakannya terpaksa menjalani pembedahan di hospital.
“Dalam kes seumpama ini, adakah taikun vape atau peniaga vape akan bertanggungjawab ? adakah mereka akan mengakui bahaya vape serta membayar ganti rugi nyawa?” katanya.
Sumber: Harian Metro