TEG horizontal logo 2

Tiada pelanggaran hak Perlembagaan dalam RUU Generasi Penamat, kata pakar

Shad Saleem Faruqi menjelaskan, ‘kebebasan peribadi’ yang dinyatakan dalam Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan bukanlah hak mutlak, tetapi boleh dikawal selia.

PETALING JAYA: Di tengah-tengah kekhuatiran banyak pihak mengenai pelanggaran hak perlembagaan dalam rang undang-undang (RUU) Generasi Penamat (GEG), pakar undang-undang Perlembagaan Shad Saleem Faruqi menjelaskan mengapa perkara ini tidak perlu dibimbangkan.

Beliau berkata, “kebebasan peribadi” yang dinyatakan dalam Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan bukanlah hak mutlak, tetapi boleh dikawal selia, seperti hak untuk memiliki dadah atau senjata api.

Perkara itu melindungi individu daripada sikap arbitrari eksekutif, tetapi Shad berkata, kebebasan peribadi boleh dirampas jika dilakukan mengikut undang-undang.

Perkara itu melindungi individu daripada sikap arbitrari eksekutif, tetapi Shad berkata, kebebasan peribadi boleh dirampas jika dilakukan mengikut undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, Seksyen 34 RUU GEG berhubung kuasa masuk secara paksa dan akses tanpa had kepada maklumat peribadi individu dan data berkomputer kelihatan melampau memandangkan ia membabitkan kesalahan kecil.

Berhubung pelaksanaan RUU Kawalan Tembakau dan Merokok terhadap generasi yang lahir sejak 2007, Shad berkata, langkah ini “rasional dan munasabah” mengikut undang-undang.

Katanya, pembezaan berkait umur tidak boleh dianggap sebagai “diskriminasi” di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan kerana undang-undang tidak mewajibkan semua orang dilayan sama, hanya mereka yang berada dalam situasi sama.

“Kita ada undang-undang dengan sekatan umur untuk mengundi, berkahwin, hubungan seks, liabiliti jenayah dan banyak lagi. Umur adalah kriteria yang dibenarkan, rasional dan perlu untuk klasifikasi di bawah pelbagai undang-undang,” katanya.

Memandangkan umur bukan kategori yang dilindungi, pegawai Majlis Peguam Andrew Khoo berkata, boleh dihujahkan bahawa kebimbangan mengenai diskriminasi di bawah RUU tersebut tidak wajar.

“Kerajaan boleh berhujah bahawa tiada diskriminasi di bawah RUU ini kerana ahli generasi yang terjejas oleh GEG akan menerima layanan sama dalam kalangan mereka,” kata pengerusi bersama jawatankuasa undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam itu.

Beliau berkata, autonomi badan dan penentuan nasib sendiri adalah penting, namun ia perlu dikaji sama ada mempertahankan hak seseorang untuk merokok adalah wajar, memandangkan kesan negatifnya dari segi perubatan sudah terbukti.

Peguam Fahri Azzat berkata, persoalan sama ada mereka yang lahir pada 2007 dan selepasnya boleh diklasifikasikan secara munasabah dalam kategori tersendiri perlu dijawab oleh mahkamah.

Beliau mendakwa isu itu ditangani “secara tidak bersungguh-sungguh” memandangkan kurangnya perbincangan dasar yang bermakna serta pertimbangan mengenai kebolehlaksanaan larangan itu, seperti sama ada akan timbul akibat yang tidak diingini.

“Melarang sesuatu tidak semestinya akan menghapuskannya, tetapi akan mengundang kehadirannya dengan lebih meluas di pasaran gelap, sama seperti hukuman mati tidak menyaksikan pengurangan kegiatan pengedaran dadah di negara ini,” katanya.

Pautan : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/08/04/tiada-pelanggaran-hak-perlembagaan-dalam-ruu-generasi-penamat-kata-pakar/

Sumber : Free Malaysia Today

Tarikh Artikel : 4/8/2022

Kenyataan : 1. Shad Saleem Faruqi, Pakar undang-undang Perlembagaan

                      2. Andrew Khoo, pegawai Majlis Peguam

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss