TEG horizontal logo 2

Vape haram berlandaskan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis

KANGAR, 19 November – Pengambilan rokok elektronik atau vape adalah dilarang dan haram berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri pada 2022 yang lalu, kata Mufti Negeri, Profesor Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menurut beliau, amalan itu telah disimpulkan oleh pakar kesihatan memberi kesan kemudaratan kepada diri dan orang lain.

“Kita tidak gazetkan fatwa itu. Gazet ini kita tak jadikan sebagai satu undang-undang, tapi kita peringkat awal ini kita hendak beri kesedaran, ada hal-hal kalau nak diundang-undangkan — rokok pun patut di undang-undang kan. Maka tak bolehlah orang hisap rokok dalam negeri Perlis ini.

“Tapi ada fatwa yang menjadi satu makluman kepada orang awam tak diundang-undangkan termasuk fatwa vape ini. Dia menjadi makluman tak diundang-undangkan tapi kita mengharapkan kesedaran orang tak payah hisap vape,” katanya di sini hari ini.

Beliau memaklumkannya kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup Simposium Guru Agama dan Majlis Penganugerahan Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perlis Tahun 2024 di Dewan Warisan yang disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Asri menyatakan pandangan beliau bagi mengulas laporan media semalam yang melaporkan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menyarankan supaya penggunaan rokok elektroni diharamkan sepenuhnya.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan melancarkan buku baharu terbitan Jabatan Mufti Negeri Perlis iaitu ‘Mukadimah Kaedah Fiqhiyyah’.

Pada majlis itu, seramai 93 penerima dianugerahkan Tauliah Umum dan Tauliah Mengajar Quran bagi tahun ini.

Source: Berita RTM

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss