TEG horizontal logo 2

Vape sebagai umpan, 3 remaja dipercayai dirogol berkumpulan

Mangsa mendakwa mereka dirogol selepas sedar dalam keadaan tidak berpakaian di sebuah rumah tumpangan di Kampung Air, Kota Kinabalu.

PETALING JAYA: Lima suspek berusia 13 hingga 17 tahun ditangkap kerana disyaki terlibat dalam rogol berkumpulan membabitkan tiga remaja, dalam kejadian di sebuah rumah tumpangan, di Kampung Air, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Kota Kinabalu Mohd Zaidi Abdullah, berkata dalam kejadian pada 26 Apr lalu, semua mangsa diumpan untuk merasai vape perisa baharu sebelum pihaknya menerima laporan mereka dirogol daripada seorang mangsa, sehari selepas itu.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian rogol berkumpulan itu turut membabitkan dua rakannya dan empat lelaki yang tidak dikenali serta seorang perempuan berusia 17 tahun.

“Dalam kejadian itu, suspek empat lelaki dan seorang perempuan terbabit menegur ketiga-tiga mangsa ketika berada di sebuah pusat beli belah di bandar raya ini dan memujuk mereka melepak di rumah tumpangan mereka di Kampung Air.

“Ketika berada di rumah tumpangan berkenaan, mereka diumpan menghisap vape berperisa baharu,” katanya menurut Harian Metro.

Zaidi berkata, semua mangsa menuruti pelawaan suspek, sebelum mereka tidak sedarkan diri dengan mangsa dipercayai dirogol.

“Ketika semua mangsa tersedar pada tengah malam, mereka dalam keadaan tidak berpakaian, manakala empat lelaki dan seorang perempuan terbabit menghilangkan diri. Ketiga-tiga mangsa mengesyaki mereka dirogol dan membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, bertindak atas laporan, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu berjaya mengesan dan menangkap kelima-lima suspek termasuk remaja perempuan, pada 27 Apr lalu.

“Semua suspek berusia 13 hingga 17 tahun ditahan di sekitar bandar raya ini dan Telipok Ria, Tuaran.

“Mereka direman sehingga 5 Mei depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372(1)(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Zaidi berkata, polis menasihati remaja perempuan supaya tidak mudah terpedaya atau terpengaruh dengan kenalan lelaki yang baharu dikenali.

Sumber: Free Malaysia Today

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss