TEG horizontal logo 2

[VIDEO] Mahkamah Persekutuan tolak permohonan 7 individu cabar larangan merokok di kedai makan

PUTRAJAYA: Selepas lima tahun, tiada lagi peluang buat tujuh individu untuk mencabar keputusan Kementerian Kesihatan melarang merokok di semua kedai makan.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan mereka untuk mendapat kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan kerajaan itu.

Hakim Zabariah Yusof, yang mengetuai panel tiga berkata Hanizam Yunus, 55, Zulkifli Mohamad, 60, Laisani Dollah, 49, Sufian Awaludin, 38, Ridzuan Noor, 56, Yazid Yunus, 51, dan Yuri Azhar Abdollah, 43, gagal melepasi ambang untuk mendapatkan kebenaran seperti dinyatakan Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Menurut peruntukan itu, pemohon mesti merangka persoalan undang-undang dan perlembagaan baharu yang berkait kepentingan awam dan dibangkitkan buat kali pertama.

“Persoalan yang dikemukakan untuk mendapatkan kebenaran juga bukan untuk kepentingan awam,” kata Zabariah, yang bersidang bersama Hakim Hasnah Hashim dan Nordin Hassan.

“Kami menolak permohonan (kebenaran) dengan kos RM30,000 perlu dibayar kepada responden.”

Pada 23 November tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan kerajaan melarang merokok di semua kedai makan.

Mereka memutuskan merokok di tempat awam bukan hak asas yang harus dilindungi bawah Perlembagaan Persekutuan.

Hakim M Gunalan berkata, menteri kesihatan diberi kuasa mengikut undang-undang untuk mengenakan sekatan merokok, termasuk di tempat atau waktu merokok dilarang.

Gunalan, yang bersidang bersama Hakim Yaacob Sam dan Lim Chong Fong berkata mereka bersetuju hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mariana Yahya tidak melakukan kesilapan undang-undang atau fakta dalam membuat keputusan menolak semakan kehakiman oleh perayu.

Ketujuh-tujuh individu terbabit mendapat kebenaran untuk merayu sebelum merit permohonan itu ditolak.

Pada 29 Oktober 2019, Mariana, kini hakim Mahkamah Rayuan, menolak permohonan semakan kehakiman oleh tujuh individu berkenaan untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan KKM melarang merokok di kedai makan.

Sumber: Buletin TV3

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss