TEG horizontal logo 2

Wujudkan kawalan vape lebih ketat elak bebanan pengurusan kesihatan awam

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) disaran merangka dan meluluskan peraturan kawalan produk vape dan tembakau yang lebih ketat dalam usaha membendung penggunaan peranti elektronik itu secara lebih meluas.

Profesor Kulliyyah Farmasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed, berkata ia antara langkah penting perlu dilaksanakan kerajaan bagi mengelakkan bebanan kewangan yang tinggi terutama perbelanjaan pengurusan kesihatan awam.

“Tidak menghairankan trend penghisap vape akan terus meningkat di Malaysia kerana industri vape telah ‘dihalalkan selepas KKM mengeluarkan nikotin dalam cecair rokok elektronik daripada Kawalan Akta Racun 1952.

“Justeru, peraturan yang bakal diluluskan bagi mengawal produk vape dan tembakau perlu lebih ketat dan dikuat kuasa secara komprehensif,” katanya kepada BH hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat, berkata, kajian komprehensif dijalankan KKM mendapati penggunaan vape atau rokok elektronik menunjukkan trend peningkatan termasuk dalam kalangan wanita.

Data KKM turut menunjukkan satu daripada faktor yang menyumbang kepada peningkatan penggunaan vape adalah gerakan promosi dalam kalangan pihak industri vape yang semakin kuat.

Dr Mohamad Haniki turut berkata, pengguguran peruntukan Generasi Penamat Rokok (GEG) yang bertujuan melarang individu dilahirkan selepas 2007 memiliki, membeli mahupun merokok termasuk penggunaan vape daripada Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 turut dilihat menyukarkan lagi usaha kerajaan membendung penggunaan peranti rokok elektronik itu.

“Selain mengeluarkan nikotin dalam Kawalan Akta Racun 1952 bagi membolehkan cukai eksais dikenakan pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml) bagi rokok elektronik, tindakan mengeluarkan terus GEG turut memberi kesan.

“Jika tindakan (penguatkuasaan) dan peraturan bagi mengawal vape tidak dilaksanakan, negara akan terus mengalami kerugian berikutan penghisap vape ini berdepan pelbagai penyakit dan rawatannya juga menelan kos yang besar,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Kongsikan | Share

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

Bincang | Discuss